Kedah Darul Aman (Kedah) menepati ramalan ramai untuk meraih kemenangan pertama mereka dalam aksi Liga Super, selepas mereka berjaya menewaskan Perak dengan keputusan penuh 4-1.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak itu, kedua pasukan tampil dengan corak permainan pantas, selain insiden-insiden panas turut berlaku sehingga dua layangan kad merah terpaksa diberikan oleh pengadil perlawanan.
Kedah Darul Aman FC bangkit meraih tiga mata penuh dalam "Derby" Utara pertama musim ini!#LigaSuper2023 pic.twitter.com/VuUESXPhpq
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 25, 2023
Empat gol Kedah masing-masing diledak oleh Lee Tuck, Willian Lira, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, dan Jonathan Balotelli, sementara jaringan tunggal Perak pula dihasilkan oleh Mohamad Ikwan Hafizo.
Seawal permainan berlangsung menyaksikan Perak sudah mula mencipta tekanan untuk mendapatkan gol pertama mereka bagi mengatasi pasukan pelawat.
Perak akhirnya terlebih dahulu memperoleh gol sulung mereka menerusi Ikhwan Hafizo bijak menyudahkan peluang hasil kesilapan awal dibuat oleh pertahanan Kedah yang sedikit leka pada minit ke-3.
Kedah jelas dilihat masih lagi mencari-cari rentak permainan seakan tidak percaya dengan keputusan tersebut, dan pantas meningkatkan intensiti perlawanan bagi mendapatkan gol penyamaan.
Memasuki 10 minit permainan, pasukan pelawat mula mendominasi perlawanan dengan Perak lebih banyak bertahan untuk menyerap asakan yang hadir dari pelbagai arah.
Tekanan-tekanan tinggi diberikan oleh Perak jelas hampir memberi masalah buat Kedah di posisi pertahanan dengan tuan rumah mahu memaksa kesilapan dibuat oleh skuad kendalian Nafuzi.
Lee Tuck tampil selaku wira buat Kedah, selepas pemain naturalisasi ini berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-17 untuk kembali merancakkan perlawanan.
Perlawanan sedikit terganggu pada minit ke-18, setelah ada sedikit pergaduhan berlaku membabitkan kedua pasukan tersebut sebelum ianya ditenangkan kembali oleh pengadil permainan.
Perak terpaksa bermain dengan 10 orang pemain sahaja, selepas pertahanan mereka iaitu Ahmad Haziq Ahmad Puad terpaksa dikeluarkan kerana menerima layangan kad kuning kedua permainan pada minit ke-35.
Bersambung di separuh masa kedua, Kedah terus meningkatkan usaha mereka dengan mendominasi serata posisi untuk mendapatkan gol pendahuluan perlawanan.
Perak terus ditimpa malang, dengan kali ini ada kekasaran dibuat pertahanan mereka yang memberi sepakan penalti untuk pasukan pelawat pada minit ke-65.
Lira berjaya menyempurnakan sepakan tersebut untuk menewaskan Bryan See pada minit ke-67, dan meletakkan Kedah kini di hadapan dengan keputusan semasa memihak kepada pelawat.
Malam ini jelas menjadi sesuatu yang tidak baik untuk Perak dengan mereka terpaksa bermain dengan sembilan pemain sahaja, selepas giliran Sunday Afolabi pula dilayangkan kad kuning kedua permainan pada minit ke-78.
Ariff Farhan tampil menutup terus peluang untuk Perak pada perlawanan ini, selepas beliau berjaya memastikan Kedah untuk meraih gol ketiga pada minit ke-84 menerusi satu rembatan deras luar kotak penalti.
Sebelum perlawanan tamat, pemain gantian iaitu Jonathan Balotelli berjaya menyumbang gol keempat buat Kedah pada masa tambahan menerusi larian solo beliau mudah untuk menewaskan penjaga gol lawan.
📸 Sorotan foto separuh masa pertama menentang Perak FC.
HT | PERAK FC 1 – 1 KDA FC
⚽ 3' Ikhwan Hafizo (PRK)
⚽ 16' Lee Tuck (KDA) pic.twitter.com/aLAASKx8eT— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) February 25, 2023
Keputusan perlawanan kekal tamat dengan Kedah berjaya meraih tiga mata pertama mereka di Ipoh, sementara Perak pula pastinya ini suatu mimpi ngeri yang ingin dilupakan mereka secepat mungkin.
Kesebelasan utama
Perak: Tian Keat See (Penjaga Gol), Sunday Kolawole Afolabi, Muhammad Hafizal Muhamad @ Alias (Kapten), Raja Imran Shah Raja Amin, Muhammad Hadi Fayyadh Abd Razak, Shivan Pillay Asokan, Muhammad Amirul Husaini Zamri, Muhammad Fadhil Idris, Ahmad Haziq Ahmad Puad, Seo Seonung, Mohamad Ikwan Hafizo
Kedah Darul Aman (Kedah): Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Penjaga Gol), Mohd Akmal Md Zahir, Bojan Ciger, Amirbek Juraboev, Manuel Gelito Ott (Kapten), Willian Lira Sousa, Tuck Lee Andrew, Wan Amirul Afiq Wan Abd Rahman, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, Manuel Federico Hidalgo Gasparini