Liga Super: 2 Gol Jordan Mintah Sempurnakan Kebangkitan KL City Ke Atas Kedah

KL City Liga Super Kedah

Jordan Mintah muncul wira apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Kuala Lumpur City bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Kedah 2-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seawal minit keenam KL City hampir membuka jaringan selepas Romel Morales berjaya mengatasi kawalan pertahanan dan penjaga gol, namun rembatannya terkena tiang sementara sepakan susulan Fakhrul Aiman pula sekadar singgah di palang gol.

Kedah juga sempat melancarkan beberapa serangan balas dan peluang terbaik adalah menerusi sepakan percuma Sanrawat Dechmitr yang hanya tersasar sedikit sahaja di atas palang.

Kedua-dua pasukan terpaksa membuat pertukaran awal pada separuh masa pertama akibat kecederaan. Pertahanan KL City Muhammad Mohd Faudzi digantikan dengan Anwar Ibrahim dan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal pula diganti oleh Shahril Sa’ari.

Memasuki minit ke-30 perlawanan, Ronald Ngah Wanja sempat menguji Kevin Mendoza apabila rembatannya mengenai palang gol dan beberapa minit kemudian penyerang import dari Cameroon itu membuat percubaan dari luar kotak penalti yang ditepis keluar penjaga gol tuan rumah tersebut.

Namun Kedah tidak berhenti melancarkan serangan dan hasilnya gol pertama perlawanan terhasil pada minit ke-42 apabila pemain muda Mohd Aiman Afif melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang kapten pasukan Mohd Syazwan Zainon.

Awal separuh masa kedua menyaksikan permainan terus rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, tetapi KL City lebih bernasib baik apabila dianugerahkan sepak penalti oleh pengadil apabila Kamal Azizi dijatuhkan oleh Azmeer Aris dalam kotak penalti.

Jordan Mintah tiada masalah untuk menyempurnakan peluang terhidang dengan rembatan ke sebelah kiri gol untuk menyamakan kedudukan.

Ia sekaligus menamatkan kemarau jaringan penyerang import dari Ghana itu sejak dipinjamkan dari Terengganu pada jendela perpindahan kedua.

Tetapi hanya 3 minit kemudian, giliran Kedah pula mendapat sepakan penalti selepas tolakan Mahmoud Al-Mardi ke arah gol terkena tangan Kamal Azizi. Namun sepakan Ronald Ngah sekadar mengenai palang gol.

Hanya beberapa minit selepas kemasukan Paulo Josue, KL City berhasil mendapatkan gol kedua pada minit ke-72 dengan Jordan Mintah sekali lagi mencetak namanya selaku penjaring selepas menyudahkan hantaran lintang Romel Morales dari sebelah kanan yang menghasilkan sorakan gemuruh penyokong di stadium.

Pada penghujung perlawanan, KL City gagal memanfaatkan bebeberapa peluang untuk menambah jaringan dan kedudukan 2-1 kekal sehingga pengadil meniup wisel penamat.

Kemenangan tersebut melonjakkan kedudukan skuad ibu kota dalam kedudukan liga di tangga keempat memintas Kedah dan Selangor selepas mengumpul 18 mata dari 13 perlawanan.

Leave a Reply