Johor Darul Ta’zim (JDT) ternyata terlalu unggul untuk digugat oleh Sabah selepas melakar kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
JDT jelas begitu selesa beraksi di gelanggang sendiri dengan mendahului seawal minit ke-18 hasil gerakan berpasukan.
Safawi Rasid yang menerima umpanan cantik Leandro Velazquez membuat hantaran kepada Bergson da Silva yang dilihat begitu mudah menahan bola dan terus membuat rembatan bagi meledak gol peribadi ke-18 musim ini.
Penyerang Brazil itu hanya memerlukan tiga minit sahaja untuk menambah satu lagi gol dengan mengatasi perangkap ofsaid dan menyambut hantaran jauh Leandro.
Bergson kemudian bijak memerangkap penjaga gol Rozaimil Rohim dengan melambungkan bola masuk ke gawang gol yang sudah terbuka luas bagi meletakkan pasukannya selesa mendahului dengan dua gol.
Peluang terbaik Sabah untuk mendapat gol adalah pada minit ke-38 apabila Levy Madinda yang menerima hantaran lintang Randy Baruh sempat mengancam kubu pertahanan JDT, namun rembatannya tersasar ke sebelah tiang gol.
Babak kedua berlangsung tanpa sebarang gol dari kedua-dua pasukan dan kedudukan 2-0 kekal sehingga pengadil meniup wisel penamat.
Dengan kemenangan ke-14 daripada 18 perlawanan musim ini, JDT terus gah di persada Liga Super dengan mengumpul 45 mata, tujuh mata mengatasi pencabar terdekat Terengganu dengan empat perlawanan berbaki. Sabah pula kekal di tangga ketujuh dengan dengan 19 mata.