Selepas ‘drama’ yang berakhir dengan Saddil Ramdani kekal bersama Sabah FC, beliau tampil cemerlang meledak dua gol dan membuat ‘assist’ dalam aksi pembuka tirai pasukan berdepan PDRM FC, malam tadi.
The Rhinos cemerlang meraih tiga mata selepas mengatasi PDRM 4-0.
Selepas melakukan persiapan rapi dan membawa masuk beberapa lagi pemain baharu untuk kempen musim 2023, Sabah tampaknya seperti sudah bersedia untuk melalui musim ini yang dijangka lebih sibuk.
Selain saingan domestik, mereka juga bakal beraksi di pentas Piala AFC.
Sabah turun dengan kesebelasan menarik apabila menyenaraikan pemain yang menjuarai Piala Malaysia 2021 bersama KL City FC, Daniel Ting yang hampir lebih setahun tidak beraksi selepas tinggalkan skuad tersebut.
Mereka turut menurunkan tiga pemain import baharu iaitu Gabriel Peres, Telmo dan Jailton da Silva dalam kesebelasan utama, malam tadi.
Saddil mempamerkan watak yang garang apabila meledak dua gol untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh pengendali, Datuk Ong Kim Swee yang berusaha keras memujuknya untuk terus kekal di Sabah.
Namun, itu tidaklah menjamin yang beliau akan sentiasa menjadi ‘anak emas’ atau pilihan untuk kesebelasan utama pasukan setiap perlawanan.
“Kita telah melakukan persiapan selama lapan minggu dan sekarang kita mempunyai ramai pemain yang boleh menggantikan pemain sedia ada. Dan untuk Sabah, tiada istilah pemain kesebelasan utama. Bagi saya, kesemua pemain yang didaftarkan adalah kesebelasan kita,” tegas Kim Swee.
Saddil berhasil merobek gawang The Cops seawal minit ke-13 selepas membuat rembatan dari sudut sukar untuk meletak tuan rumah terlebih dahulu di depan. Beliau mencipta ruang tersebut dengan sendirinya.
Kapten, Park Tae-su yang mampamerkan permainan berkualiti sepanjang perlawanan malam tadi berjaya menambah gol buat pasukan di minit ke-38 selepas mudah untuk menanduk masuk hantaran lintang oleh Saddil.
The Rhinos masih belum cukup dengan dua gol apabila Saddil muncul sekali lagi sebagai penjaring pada minit ke-71 selepas satu serangan balas pantas yang dimulakan dan disudahkannya olehnya di gawang lawan.
Di penghujung aksi, pemain skuad kebangsaan, Stuart Wilkin menambah cuka ke atas luka PDRM apabila menggegar gawang mereka buat kali ke-4 selepas menerima hantaran ‘cut-back’ oleh bek sayap, Rizal Ghazali.
Bagi Kim Swee, ini adalah aksi pertama dan masih berbaki banyak lagi perlawanan selepas ini yang bakal mencabar kemampuan sebenar mereka.
“Ini hanya perlawanan pertama, kita tidak boleh terlampau yakin. Tetapi mendapat tiga mata amat penting bagi perlawanan pembukaan. Kita akan melalui banyak lagi perlawanan. Saya percaya perlawanan selepas ini bukanlah yang mudah,” ujar Kim Swee di sidang media pasca perlawanan.
“Dan saya berharap kepada setiap pemain yang diturunkan pada perlawanan akan datang, mereka mampu menunjukkan prestasi yang sama seperti mana pemain-pemain lain lakukan,” tambahnya lagi tentang prestasi pasukan.