Kalut dengan isu di luar padang, perkara sebaliknya yang dipamerkan oleh pemain Perlis dalam aksi Liga Premier ketika menewaskan UiTM FC.
Skuad kendalian Manzoor Azwira itu mudah menewaskan lawan mereka 3-0 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.
Semangat melawan
Walaupun sering menjadi tumpuan disebabkan hal tunggakan gaji pemain dan pegawai sejak belum bermula musim, Perlis tetap mempamerkan keyakinan tinggi untuk memburu kemenangan, setelah tewas 2-1 kepada UKM FC pada aksi sulung kempen pada minggu lalu.
Perlis terlebih dahulu diuji oleh pasukan tuan rumah melalui pemain impiort Robert Waly Lopez pada minit ke-4, namun Shahril Saari cemerlang menepis keluar percubaan tersebut.
Shahril terpaksa sekali lagi menyelamatkan percubaan jarak jauh pemain tersebut pada minit ke-19 perlawanan.
Gerakan menarik diantara Fahrulrazi Kamaruddin dan Safee Sali akhirnya membuahkan hasil, apabila hantaran Fahrulrazi selepas itu membenarkan Khyril Muhymeen Zambri untuk menjaringkan gol pembukaan buat Perlis pada minit ke-31 perlawanan.
Singa Utara terus bernafsu
Skuad Singa Utara terus garang selepas itu apabila Khyril Muhymeen sekali lagi menjaringkan gol setelah beliau menanduk masuk bola tampanan Safee Sali hasil hantaran lintang Mohd Hafizi Amirudin.
Enggan berasa selesa, Perlis terus menggandakan asakan, dan Khyril hampir menjaringkan hatrik pada minit ke-57, namun tandukan beliau tersasar.
Kebin Osei akhirnya melengkapkan kemenangan bergaya Perlis pada minit ke-72 menerusi rembatan leret, sekaligus memberikan tiga mata berharga buat skuad dari utara tanah air itu.