Pulau Pinang FA pastinya tertanya-tanya bagaimana mereka boleh berkongsi mata dengan Kuching FA yang bermain dengan 10 orang pada majoriti permainan. Ini selepas tuan rumah sekadar seri 0-0 dalam aksi Liga Premier di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Pulau Pinang menunjukkan dominasi mereka dengan selesa menguasai permainan dan melancarkan hantaran lintang demi hantaran lintang kepada Casagrande. Tetapi penjaring terbanyak Pulau Pinang ini berjaya dikawal dengan baik oleh duo pertahanan tengah Kuching – Hairol Mokhtar dan Sahran Abdul Samad.
Percubaan tepat tuan rumah hanya hadir pada minit ke-10 menerusi tandukan pemain sayap kanan, Wan Mohd Faiz.
Faiz yang menggantikan Al Hafiz dalam perlawanan ini jelas kurang mengancam dan mudah ditangani oleh bek kiri pelawat, Rames Lai Ban Huat.
Meskipun selepas Kuching dipaksa bermain 10 orang selepas Sahran dibuang padang pada minit ke-25 kerana meludah Casagrande, Faiz dan jentera serangan Pulau Pinang yang lain hanya mencipta satu percubaan tepat ke arah gol dalam 30 minit pertama.
Pada minit ke-35, Faiz sekali lagi diberi peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Tetapi kali ini beliau gagal menyudahkan hantaran Casagrande.
Disebalik penguasaan tuan rumah, Kuching sebenarnya lebih berpeluang jelas untuk mendahului.
Paul Sambang yang berseorangan di jentera depan Kuching mempunyai peluang untuk menjaringkan gol hasil kealpaan benteng Pulau Pinang pada minit 44′. Mujurlah Sam Somerville cekap mempertahankan kedudukan 0-0 untuk Pulau Pinang.
Pada separuh masa kedua, kemasukan Al Hafiz yang menggantikan Amer Azahar membuahkan peluang jelas pertama untuk Casagrande. Berpunca daripada hantaran lintang Al Hafiz, penyerang kelahiran Brazil itu berjaya menanduk padu – tetapi ia sedikit tersasar.
Kredit harus diberikan kepada Kuching. Jelas mereka melakukan kerja rumah kerana bentuk kompak mereka tidak memberi banyak ruang kepada Casagrande dan dua pemain sayapnya untuk beroperasi.
Endrick yang berpengaruh besar dalam 3 perlawanan pertama Pulau Pinang hanya mempunyai satu percubaan tepat ke arah gol pada separuh masa pertama. Selain daripada itu, Endrick tiada pengaruh.
Pada minit ke-73, Casagrande akhirnya berjaya melepaskan tandukan padu trademark beliau selepas beberapa kali mencuba. Tetapi Iqbal Suhaimi telah bersedia untuk menangkap kemas tandukan penjaring enam gol dalam tiga perlawanan Liga Premier 2020 ini.
Memasuki 10 minit terakhir perlawanan, Pulau Pinang nampak seperti sudah kekeringan idea. Kali ini pelan serangan mereka adalah mengepam bola ke Casagrande untuk mencipta peluang menerusi bola-bola kedua (second balls) dan menjadikan pertahanan tengah Rafael Vitor sebagai penyerang tambahan.
Ia adakalanya mencemaskan Kuching. Tetapi ia mudah dibaca. Pulau Pinang memerlukan inspirasi dari seseorang selain daripada Casagrande.
Al Hafiz hampir memberi inspirasi tersebut menerusi percubaan pada minit ke-88 dan sepakan penjurunya yang berjaya ditanduk Casagrande seminit kemudian. Tetapi Iqbal masih liat untuk ditewaskan.
Meskipun sejujurnya tuan rumah mempunyai satu peluang sepakan penalti yang tidak diendahkan pengadil dan kuisan lemah Bobby Gonzales pada hujung perlawanan, ia masih belum mampu menyorok kebergantungan mereka kepada fizikaliti Casagrande untuk menjaringkan gol.
Keputusan 0-0 ini pastinya menggembirakan Kuching – dan Terengganu II yang kini empat mata menerajui Liga Premier di depan Pulau Pinang.
Pemain terbaik perlawanan: Iqbal Suhaimi (Kuching FA)