Liga Perdana 2017 kembali dengan minggu ke-6 dengan 5 perlawanan dilangsungkan di serata Malaysia.
Hanya satu perlawanan sahaja yang ditangguhkan apabila perlawanan diantara Sabah dan MISC-MIFA dibawa ke tarikh baharu iaitu pada 15 Mac 2017.
JDT II bernasib baik
JDT II bernasib baik apabila berjaya mencuri satu mata apabila menentang UiTM FC di Stadium UiTM.
Sadam Hashim dan Akanni Sunday memberikan gol pendahuluan buat UiTM FC sebelum Nicolas Fernandez mengurangkan defisit kepada 1 gol pada minit ke-61.
Fernandez muncul wira apabila menjaringkan gol pada minit akhir untuk mengutip 1 mata buat pasukan pelawat.
Dao Bakary terus konsisten menjaringkan gol untuk PDRM apabila gol beliau membantu pasukannya menang 2-0 ke atas Perlis.
Gol beliau itu merupakan gol kedua perlawanan, sebelum itu Hazwan Zuridi menjaringkan gol pertama untuk PDRM.
Terengganu kembali respon kepada misi untuk ke Liga Super 2018 apabila membenam cabaran Kuala Lumpur di laman sendiri.
Federico Falcone menjaringkan gol awal untuk pasukan Terengganu sebelum Na’im Nazmi menyamakan kedudukan menjadi 1-1.
Namun begitu jaringan daripada Lutfulla Turaev pada minit ke-53 mematerikan 3 mata untuk pasukan Terengganu.
PKNP terus melonjak!
Musim pertama PKNP di Liga Perdana nyata cukup hebat apabila mereka kini menduduki tangga ke-2 dan dipisahkan dengan jarak 2 mata dengan pendahulu – Negeri Sembilan.
Rentak cemerlang PKNP diteruskan apabila berjaya menewaskan ATM dalam aksi perlawanan yang menyaksikan masa tambahan separuh masa kedua berlanjutan hampir 30 minit!
Hal ini kerana lampu limpah di Stadium Perak, Ipoh terpadam dan menyaksikan perlawanan ditangguhkan hampir 20 minit.
Namun ada hikmah disebaliknya, Sharel Fikri menjaringkan gol kemenangan pada minit 90+27 untuk berikan 3 mata dan kemenangan 1-0 buat PKNP.
Negeri Sembilan terus cemerlang apabila berjaya menewaskan Kuantan FA di Darul Makmur.
Bruno Suzuki menjaringkan gol seawal minit ke-9 sebelum 2 jaringan dari Marko Simic pada minit ke-13 dan minit ke-56 memberikan 3 mata untuk pasukan pelawat.
Gol saguhati pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Shunsuke Nakatake dengan jaringan pada minit ke-89.
Baca juga: Undian Pusingan 16 Terbaik Europa League, United Bertemu Rostov!