Quantcast

KOMUNITI LIGA MALAYSIA

Liga M4: AFL Diminta Perketatkan Peraturan Berhubung Pertindihan Pemain

Pengarah Projek Liga Komuniti Puchong, Tuan Mohd Hazaid Tuan Jaafar berharap tiada lagi isu pertindihan pemain akan berlaku dalam saingan Liga M4 pada musim depan.

Ini kerana Hazaid mahu memastikan setiap pasukan dapat bersaing dengan lebih profesional khususnya di peringkat tertinggi.

Jelasnya lagi, terdapat beberapa pemain yang dilihat mudah bertukar-tukar pasukan pada musim ini dan ada juga segelintir daripada mereka turut beraksi dalam beberapa liga yang berlainan dalam satu musim.

Situasi itu jelas menunjukkan sesetengah pasukan dan pemain tidak mengambil serius dalam isu berkenaan sekali gus boleh menjejaskan tahap profesionalisme sesuatu liga itu.

Justeru, Hazaid menyifatkan adalah lebih baik seandainya seseorang pemain itu dapat kekal untuk beraksi dalam satu liga dan pasukan sahaja sepertimana yang telah dilakukan oleh semua pasukan yang bersaing dalam Liga M3.

Beliau percaya pihak Amateur Football League (AFL) akan mencari solusi terbaik bagi memastikan perkara sebegitu tidak akan berlaku lagi dalam saingan Liga M4 pada musim depan.

“Kalau sebelum ini kita beraksi di Liga M5, memang saingan itu lebih terbuka dan apabila kita sudah melangkah ke Liga M4 ini, sepatutnya semua pasukan kena sedar untuk jadi lebih profesional.

“Kami berharap selepas ini AFL akan tetapkan peraturan yang lebih ketat supaya tiada lagi isu pertindihan pemain dan sebagai contoh, sekiranya mereka sudah berdaftar untuk beraksi di Liga Komuniti Puchong, biarlah mereka kekal di situ dan jangan sesuka hati beraksi ke liga atau pasukan lain pula.

“Bagi saya, pengurus pasukan dan pihak pengurusan kena lebih serius dan peka selepas ini dalam pendaftaran pemain dan jangan membiarkan perkara sebegini berlaku khususnya apabila sudah melangkah ke saingan Liga M4”, katanya.

Pengarah Strategik Shah Alam League, Raja Mohd Kamil Raja Nur Azmi

Sementara itu, Pengarah Strategik Shah Alam League, Raja Mohd Kamil Raja Nur Azmi pula berpendapat inilah masanya untuk pasukan dan kelab yang akan bersaing di Liga M4 pada musim depan belajar untuk menjadi lebih serius dalam membentuk satu pasukan terbaik dalam misi melangkah ke Liga M3.

Jelasnya, semua pasukan perlu bersedia daripada segala aspek sekiranya mereka berazam untuk melayakkan diri ke saingan Liga M3 yang pastinya lebih sengit dan mencabar.

“Kami di pihak Shah Alam League sudah bersedia untuk memastikan perjalanan semua pasukan di tahap terbaik apabila bakal bersaing di Liga M4 buat kali pertama, musim depan.

“Pastinya kami akan mendapat garis panduan dan peraturan yang berbeza daripada Liga M5 sebelum ini dan saya melihat ini adalah platform tepat untuk semua pasukan mencapai tahap profesionalisme yang lebih baik.

“Apa yang penting, mereka perlu sedar nak layak ke Liga M3 bukan mudah dan persediaan daripada segala aspek perlu bermula daripada awal khususnya daripada sudut pemain untuk belajar kekal beraksi dalam satu pasukan dan satu liga sahaja”, ujarnya.

Terdahulu, AFL telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bersama lima liga yang akan beraksi di Liga M4 pada musim depan iaitu Liga Komuniti Puchong, Shah Alam League, Subang Football League, Selangor Sosial Premier League dan Sunrise Soccer League, hari ini.