Liga Isles Of Scilly: 20 Perlawanan Tetapi Masih Liga Terkecil Di Dunia?

Pernahkah anda mendengar Liga Isles of Scilly? Apabila kita berbicara tentang perseteruan dalam bola sepak, tiada satu pun yang dapat menandingi perseteruan ini. Lupakan segala derbi yang ada di dunia ini, kerana ini adalah derbi terunik di dunia.

Ini kerana, hanya dua kelab itu sahaja yang menyertai liga tersebut. Pasti ramai yang akan menganggapnya sebagai membosankan. Tapi itulah yang terjadi di dalam Liga Isles of Scilly, liga terkecil di dalam dunia.

Konsep dan perjalanan liga

Liga bola sepak yang berlangsung di kepulauan Scilly, kepulauan paling selatan di United Kingdom (UK) itu disertai oleh dua pasukan yang dikenali sebagai Garrison Gunners dan Woolpack Wanderers.

Menurut laporan New York Times, sepanjang Oktober sehingga Mei, Garrison Gunners dan Woolpack Wanderers akan bertemu sebanyak 20 kali untuk melengkapkan satu musim liga.

Ia merupakan liga amatur di mana para pemainnya mempunyai kerja tetap lain di luar padang dan ia tidak termasuk dalam sistem liga Persatuan Bola Sepak England (The FA) walaupun bersekutu dengannya.

Bilik persalinan di padang Garrison. Foto: Laman web FIFA.

Selain aksi liga, kedua-dua kelab ini juga akan bertemu dalam Piala FA dan Piala Liga, atau lebih dikenali sebagai Piala The Wholesalers dan Piala Foredeck.

Dan sebagai pembuka tirai setiap musim baharu, perlawanan Piala Sumbangsih turut diadakan di antara kedua-dua kelab tersebut.

Perlawanan kedua-dua kelab tersebut akan berlangsung di padang bola sepak Garrison, di mana kedua-dua kelab akan berkongsinya secara bergilir sebagai tuan rumah dan juga pasukan pelawat.

Ianya adalah satu kitaran yang sama pada setiap hujung minggu, iaitu padang yang sama, bilik persalinan yang sama, rakan sepasukan yang sama, malah lawan juga adalah kelab yang sama.

Sejarah dan rekod Liga Isles of Scilly

Kepulauan Scilly terdiri daripada lima buah pulau kecil iaitu St. Mary, St. Martin, Tresco, Bryher dan Samson. Populasi penduduk pula hanya sekitar 2500 orang pada tahun 2015.

Liga ini bermula sekitar tahun 1920, dan pada tahun 1950, hanya dua pasukan yang tinggal iaitu Rangers dan Rovers, atau kini telah dikenali sebagai Garrison Gunners dan Woolpack Wanderers.

Sebelum ini, liga ini memiliki empat pasukan bertanding iaitu dua dari St. Mary dan setiap satu dari Tresco dan St. Martin, dan ianya dikenali sebagai Piala Lyonesse.

Tetapi disebabkan populasi penduduk yang kian mengecil saban tahun, selepas tahun 1950, liga ini akhirnya diteruskan oleh dua buah kelab tersebut sahaja.

Piala terkecil di dunia, Piala Lyonesse. Foto: Tom Jamieson.

Dan yang menariknya, Piala Lyonesse juga ada tarikannya yang tersendiri. Ianya dipercayai piala yang terkecil di dunia dan kini dipamerkan di Muzium FIFA.

Woolpack Wanderers adalah penyandang juara ketika ini dan juga merupakan kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga berbanding seterunya.

Kaedah pemilihan pemain

Menurut presiden liga, Anthony Gibbons, beberapa minggu sebelum bermulanya aksi liga, kedua-dua kapten untuk musim tersebut akan bertemu di pub untuk satu sesi pemilihan pemain.

“Pada dasarnya, pemilihan pemain dibuat seakan-akan cara yang digunapakai di sekolah,” terang Gibbons sambil menjelaskan setiap kapten akan memilih seorang pemain secara bergilir-gilir.

Bilik persalinan kedua-dua pasukan. Foto: Tom Jamieson

Walaubagaimanapun, kedua-dua kelab perlu memiliki pemain yang seimbang dari segi kebolehan para pemainnya. Ia bagi menjamin kejohanan liga ini tidak memberi kelebihan kepada salah satu kelab.

“Anda tidak boleh mempunyai satu pasukan yang jauh lebih baik berbanding yang lain sepanjang liga berlangsung. Orang akan hilang minat terhadapnya,” ujar Gibbons.

Menurut Gibbons, walaupun adakalanya cara tersebut kurang berkesan, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, juara liga hanya dapat ditentukan pada hari terakhir liga berlangsung.

Populasi kian menurun, jumlah pemain kian berkurang

Seperti mana komuniti pulau yang lain, Scilly menghadapi masalah untuk mengekalkan populasi penduduknya. Di Scilly, sekolah hanya disediakan hingga ke umur 15 tahun sahaja.

Untuk remaja yang berumur 16 tahun dan mahu menyambung pengajian ke peringkat kolej, mereka terpaksa keluar dari kepulauan tersebut dan berhijrah ke tanah besar.

Dan, selalunya mereka tidak akan pulang semula sehingga mereka sudah berusia kerana di Scilly, mereka tiada pilihan pekerjaan, malah harga rumah juga kian mahal.

Anthony Gibbons (kanan) ketika ‘cigarette break’. Foto: Tom Jamieson

“Kita selalunya menghadapi masalah dengan remaja yang berusia 16 hingga 25 tahun.

“Itulah umur yang selalunya anda ingin mereka bermain, tetapi majoriti daripada generasi tersebut telah meninggalkan pulau ini,” ujar Will Lethbridge, deejay radio dan pemain sayap kelab Wanderers.

Menurut Cole, seorang pengurus lapangan terbang dan pegawai bomba, jumlah pemain kini kian berkurang, dan purata usia pemain untuk kedua-dua kelab adalah sekitar 30-an.

“Peluang pekerjaan terhad dan harga hartanah yang kian mahal; untuk flat merangkumi dua bilik tidur mencecah sehingga ke £ 300,000. Sukar untuk kembali ke sini,” jelas pengurus bank, Andy Hicks.

Penutup

Ketika ini, liga terkecil di dunia ini sebenarnya semakin bergelut untuk terus kekal wujud di kepulauan Scilly. Walaupun dihimpit pelbagai masalah, perjalanan liga tetap diteruskan.

Garrison Gunners (merah), Woolpack Wanderers (kuning). Foto: Tom Jamieson.

Kepuluan Scilly bukanlah satu tempat yang mudah untuk diduduki, apatah lagi untuk menjalankan satu liga bola sepak. Namun, itu tidak penting bagi mereka, kerana mereka hadir semata-mata untuk bermain bola sepak.

Berapa banyak pasukan di seluruh dunia yang sentiasa terjamin kedudukan dua teratas liga dan slot final pada setiap musim untuk kejuaraan Piala FA, Piala Liga serta Piala Sumbangsih?

Salah satu frasa popular yang kerap digunapakai dalam dunia bola sepak, ‘nothing is guaranteed’, tetapi di Liga Isles Of Scilly, segalanya pasti terjamin.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN