Quantcast

BERITA KOMUNITI

LIga IPT 2018: UiTM Perlis Pamer Bola Sepak Cantik Untuk Benam UM 3-1

UiTM Perlis meneruskan prestasi baik mereka dalam aksi minggu ke-3 Divisyen 1 Liga IPT 2018 selepas berjaya menumbangkan Universiti Malaya (UM) 3-1 dalam satu perlawanan menarik yang berlangsung di Arena UM malam semalam.

Turun sebagai pelawat yang sudah mengumpul 1 kemenangan (4-2 vs MMU) dan 1 seri (2-2 vs IIUM), UiTM Perlis turut mempamerkan permainan bola sepak yang cantik untuk menewaskan UM yang sekadar seri 1 dan kalah 1 (1-1 vs UPM dan 1-2 vs UniSZA) dalam aksi 2 minggu sebelum ini.

Berbeza dengan UM yang lebih direct dan fizikal, UiTM Perlis bermain dengan pendekatan bola sepak yang lebih moden. Sistem 4-3-3 mereka seringkali mencemaskan kubu pertahanan UM melalui kebolehan mereka memegang bola dengan selesa, tempo hantaran yang pantas serta kelajuan 3 penyerang di hadapan.

Walaupun UM terlebih dahulu menguji menerusi sepakan percuma Azril Shafereen pada minit ke-3 yang sedikit tersasar, UiTM Perlis paling banyak mengancam.

Dengan bek sisi UM yang gagal menangani kelajuan dan skill penyerang sayap UiTM Perlis, Najmy Asyraf dan Muhd Israff, situasi menjadi lebih buruk buat UM apabila pertahanan mereka kerap kali gagal mengunci pergerakan penyerang tunggal lawan, Noor Arif yang lincah.

Pada minit ke-7, Noor Ariff memberi amaran kepada 2 pertahanan tengah UM, Mooaz Osama dan Ezenna Okoye apabila berjaya melepasi kawalan untuk menanduk hantaran lintang Najmy Asyraf dari kanan. Tetapi sebelum Noor Ariff mampu berbuat apa-apa, pengadil memberhentikan perlawanan kerana penyerang UiTM Perlis tersebut didakwa mengasari penjaga gol.

Mooaz Osama dan Ezenna Okoye mungkin mempunyai kelebihan fizikal berbanding majoriti pemain UiTM Perlis, tetapi mereka ternyata bergelut menangani kelajuan tempo hantaran lawan mereka yang laju dan kemas di tengah.

Penyerang UiTM Perlis, Noor Ariff (tengah) merupakan duri dalam daging bagi 2 pertahanan tengah UM, Mooaz Osama (kanan) dan Ezenna Okoye (kiri) sepanjang perlawanan.

Pada minit ke-8, pengadil memberikan sepakan percuma kepada UiTM Perlis selepas Okoye yang terpegang bola ketika cuba menghentikan serangan tengah. Tampil ke hadapan mengambil sepakan percuma tersebut adalah kapten UiTM Perlis, Ameer Faeez yang hampir-hampir sahaja memberikan gol pendahuluan kepada pasukannya selepas sepakan percumanya menggegar palang gol UM.

Masalah utama UM pada separuh masa pertama adalah kegagalan mereka menghentikan trio Amir Adha, Ameer Faeez dan Muhd Syukri daripada merajai kawasan tengah. Ketiadaan pressing membolehkan trio tengah UiTM Perlis ini menentukan tempo permainan dan menukar haluan serangan dari kiri ke kanan sesuka hati mereka.

Apabila masalah ini tidak ditangani oleh UM, ia memberikan deretan peluang kepada Najmy Asyraf dan Muhd Israff untuk melakukan hantaran-hantaran lintang berbahaya kepada Noor Ariff di tengah. Sepanjang 10 minit antara minit 7′ hingga 17′, sebanyak 4 peluang gol jatuh di riba Noor Ariff – tetapi semuanya dikecewakan oleh penyudah tumpul dan kecekapan penjaga gol UM, Mohd Irfan.

Tetapi kecekapan Mohd Irfan tidak mampu bertahan lama. Pada minit ke-21, Noor Ariff berjaya juga menanduk masuk hantaran lintang Najmi Asyraf sebelum Mohd Irfan – yang meluru keluar – dapat menangkap bola. Ia adalah gol pendahuluan yang sememangnya berhak dimiliki UiTM Perlis.

Ketinggalan 0-1, UM cuba bangkit. Tetapi gagal – dan mudah untuk faham mengapa. Apabila mempunyai bola, UM gemar melakukan hantaran direct ke penyerang mereka yang sudah pun dikawal ketat pertahanan UiTM Perlis. UM langsung tidak boleh melakukan lebih daripada 5 hantaran di zon middle third!

Kesempatan inilah yang digunakan oleh Noor Ariff untuk menghukum UM sekali lagi pada minit ke-39.

Kali ini berpunca daripada pintasan hantaran Ameer Faeez di tengah, beliau kemudiannya menghantar bola ke Najmy Asyraf yang berada di kanan. Najmy mudah menewaskan bek kiri UM untuk sekali lagi menghantar hantaran lintang deras yang – sekali lagi – berjaya disudahkan oleh tandukan Noor Ariff. Anatomi gol kedua ini mirip gol pertama – menandakan kelemahan ketara UM di sebelah kiri.

Pada separuh masa kedua, UM berjaya juga merapatkan kedudukan kepada 2-1. Berpunca daripada pressing yang baik ekoran percubaan UiTM Perlis untuk bermain dari bawah, pemain tengah UM, Abdul Majid berjaya merampas bola sebelum merembat cantik dari jarak 20 ela untuk gol UM.

Gol ini nyata menyuntik semangat baru kepada UM yang terus-menerus menekan UiTM Perlis untuk mencari gol penyamaan pula. Ditambah pula dengan sepakan gol teruk daripada penjaga gol UiTM Perlis, Ahmad Izzulfaiz yang menambah tekanan kepada pertahanannya, UM kini menguasai perlawanan.

Hanya apabila Izzulfaiz diganti dengan penjaga gol gantian, Abdul Shafiq yang mempunyai sepakan gol lebih baik, barulah UiTM Perlis dapat mengurangkan tekanan daripada UM.

Hasilnya pada minit ke-83, UiTM Perlis berjaya menjaringkan gol ketiga. Berpunca daripada kesilapan pertahanan UM yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya awal-awal, Muhd Fitri berjaya mengawal bola hantaran lintang kiri sebelum mudah menewaskan penjaga gol gantian UM, Al Qayyum.

Kemenangan 3-1 ini membolehkan UiTM Perlis mengekori rapat UiTM Shah Alam yang mendahului Divisyen 1 Liga IPT 2018 setakat 3 perlawanan setakat ini. Manakala UM terperosok di tangga ke-10 daripada 12 pasukan dengan kekalahan ini.

Keputusan lain:

Keputusan Penuh Perlawanan Liga Bola Sepak IPT 2018

⚽️ Minggu Ketiga bagi Divisyen 1
⚽️ 6 Oktober 2018…

Posted by Liga Bola Sepak IPT on Saturday, October 6, 2018