Quantcast

BERITA KOMUNITI

Liga IPT 2018: MMU Pamer Persembahan Pragmatik Ikat UiTM Shah Alam 1-1

Jaringan pemain Multimedia University (MMU) Amirul Fitri dan kad merah pemain UiTM Shah Alam, Amin Khalili pada separuh masa kedua membolehkan MMU mencuri 1 mata dalam aksi minggu ke-4 Liga IPT 2018 di Stadium UiTM Shah Alam.

Meskipun kedua-dua pasukan bermain dengan sistem 4-1-4-1, pendekatan permainan mereka sangat berbeza. UiTM Shah Alam lebih menyerang, lincir ketika menyerang dan imaginatif. MMU pula lebih defensif dan pragmatik.

Dominasi awal UiTM Shah Alam terserlah sejak minit pertama perlawanan. Trio tengah mereka yang berpaksikan kepada kreativiti dan ketenangan Nizaruddin Jazi, kelincahan Tajul Firdaus dan skil teknikal Ahmad Danial sentiasa lincir menggerakkan bola ke jentera serangan mereka. Di hadapan, trio penyerang Amin Khalili, Aliff Hakimi Tan dan Faris Hafiz sentiasa menghadirkan masalah di kubu pertahanan MMU.

Ini terbukti apabila pada minit ke-7, UiTM Shah Alam sudah pun mendahului 1-0. Berpunca daripada pertahanan MMU yang longgar, pemain sayap kanan UiTM Shah Alam, Faris Hafiz mendapat ruang dan masa untuk menampan masuk gol pembukaan perlawanan.

Pemain UiTM Shah Alam, Faris Hafiz meraikan jaringan beliau bersama rakan sepasukannya ketika menentang Multimedia University dalam aksi Liga IPT 2018 di Stadium UiTM Shah Alam.

Ketika perlawanan baru berlangsung 11 minit, UiTM Shah Alam sudah mempunyai 3 percubaan tepat yang menguji penjaga gol MMU, Rafiuddin Rajaie. Sayap kiri UiTM adalah sumber inspirasi utama serangan; boleh dikatakan hampir semua serangan bahaya UiTM pada separuh masa pertama berpunca daripada kelicikan Faris Hafiz dan bek kirinya, Luqman Hakim.

MMU langsung tidak dapat keluar dari kawasan padang mereka sendiri sehinggalah pada minit ke-18. Barangkali tersentak dengan peluang gol yang hampir-hampir disempurnakan oleh Amin Khalili seminit sebelum itu, MMU bangkit memperkemaskan serangan. Tetapi sebelum sempat bola sampai ke laluan penyerang tunggal mereka, N. Veekneswaran, pertahanan UiTM Shah Alam sudah cepat-cepat memintas hantaran yang dibekalkan oleh jentera tengah MMU.

UiTM Shah Alam mempunyai 2 lagi peluang terbaik untuk menambah gol pada minit 29’ dan 41’. Tetapi percubaan dari Aliff Hakimi Tan dan Tajul Firdaus, masing-masing tidak tepat ke sasaran untuk menamatkan separuh masa pertama 1-0 kepada UiTM Shah Alam.

Di sebalik dominasi mutlak yang ditunjukkan pada separuh masa pertama, UiTM menembak kaki sendiri ketika separuh masa kedua baru berusia 2 minit. Kekeasaran yang dilakukan Amin Khalili terhadap Nurikhwan Ismail dihukum dengan kad kuning kedua, sekaligus kad merah dan arahan keluar padang oleh pengadil.

MMU kemudiannya mengambil peluang yang hadir menerusi sepakan percuma susulan kekasaran Amin Khalili untuk menjaringkan gol. Pertahanan UiTM Shah Alam yang selama ini kukuh leka seketika untuk memberi ruang kepada Amirul Fitri menampan gol penyamaan yang mengecewakan kira-kira 500 penyokong UiTM Shah Alam yang hadir.

Pemain MMU, Amirul Fitri meraikan jaringannya untuk membantu pasukannya mengikat juara bertahan, UiTM Shah Alam 1-1 dalam aksi Liga IPT 2018 di Stadium UiTM Shah Alam.

Bermain dengan kelebihan 1 pemain dan skor jaringan 1-1, MMU sepatutnya mula menyerang dengan agresif untuk meletakkan tekanan kepada kapten dan pertahanan tengah UiTM Shah Alam, Izzul Danish dan rakan-rakannya. Tetapi sebaliknya yang berlaku. UiTM Shah Alam yang menjadi semakin agresif menyerang. MMU pula menjadi semakin menguncup – seolah-olah sudah berpuas hati dengan 1 mata yang bakal diraih.

Keberanian UiTM Shah Alam sewajarnya dipuji dan hampir-hampir dihadiahkan gol kemenangan. Pada minit-minit berikutnya ketika MMU tidak lagi berminat untuk menyerang, UiTM Shah Alam mempunyai 3 percubaan yang dinafikan palang gol dan 4 lagi peluang cantik yang dinafikan oleh pertahanan MMU.

Skor jaringan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan untuk menghantar tuan rumah yang dominan sepanjang perlawanan pulang kecewa. MMU mungkin gembira dengan 1 mata yang diraih daripada juara bertahan Liga IPT ini, tetapi mereka tidak berhak untuk berbangga dengan mentaliti pragmatik yang ditunjukkan mereka walaupun mempunyai kelebihan 1 pemain pada majoriti separuh masa kedua.

Pemain terbaik perlawanan: Ahmad Danial (UiTM Shah Alam)

Keputusan lain minggu ke-4 Liga IPT 2018

Keputusan Penuh Perlawanan Liga Bola Sepak IPT 2018

⚽️ Minggu Keempat bagi Divisyen 1
⚽️ 13 Oktober 2018…

Posted by Liga Bola Sepak IPT on Saturday, October 13, 2018

Kedudukan terkini Liga IPT 2018

Kedudukan Pasukan Liga Bola Sepak IPT Divisyen 1 selepas empat…

Posted by Liga Bola Sepak IPT on Saturday, October 13, 2018