Liga Indonesia Bakal Dahului Liga Malaysia, Labur RM25 Juta Guna VAR Mulai Musim Hadapan

PT Liga Indonesia Baru (LIB) dilaporkan akan menggunakan teknologi videa assistant referee (VAR) untuk saingan Liga 1 musim hadapan.

Pengarah LIB, Akhmad Hadian Lukita mengesahkan perkara itu telah dibincangkan dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) supaya ia direalisasikan.

“Kami sudah memulakan perbincangan dengan PSSI mengenai VAR. Kami akan menggunakan VAR untuk musim hadapan,” kata Lukita seperti yang dipetik dari portal Sepak Bola.

Pelaksanaan VAR di Liga 1 Indonesia menjadi keutamaan selepas beberapa keputusan dibuat pengadil dalam saingan di divisyen utama bola sepak negara itu pada musim ini.

“Presiden PSSI, Mochamad Iriawan sudah berkata, mahu tidak mahu VAR harus dilaksanakan. Sehubungan perkara itu sebuah jawatankuasa di antara PSSI dan LIB akan diwujudkan. Saya juga akan mewujudkan satu pasukan khas khusus untuk perkara itu.”

Tenaga mahir dan kos

Lukita bagaimanapun menyedari mewujudkan VAR di Liga 1 bukan perkara yang mudah. Bukan sahaja teknologi tersebut akan menggunakan kos yang mahal, ia juga memerlukan infrastruktur tertentu dan pengadil yang berpengalaman untuk mengendalikannya.

“Untuk itu kami akan mewujudkan program [khas] untuk mempercepatkannya. Seorang perunding VAR sudah didatangkan oleh LIB agar kami boleh mempercepatkan proses mempelajari penggunaannya,” tambah beliau lagi.

“Itu cara lebih berkesan. Peralatannya akan dibeli kemudian sebelum diuji. Sesi ujian ialah pada akhir musim Liga 1, dan kami hanya perlu dibimbing.

“Tidak semua keputusan harus melibatkan VAR. Mungkin situasi berkenaan penalti atau layangan kad merah,” tambah beliau lagi.

Ujian pada akhir musim Liga 1 diharapkan oleh Lukita agar teknologi tersebut dapat digunakan sepenuhnya di semua perlawanan Liga 1 Indonesia pada musim hadapan.

Kos untuk membawa masuk VAR bagaimanapun dijangka tidak menjadi masalah buat LIB. Menurut Lukita untuk membawa teknologi tersebut ke Indonesia, badan penganjur bola sepak Indonesia itu perlu membelanjakan sekitar USD 6 juta, atau bersamaan dengan RM25 juta.

VAR di Liga Malaysia

Penggunaan VAR di dalam bola sepak pada hari ini bukanlah perkara baharu. Di rantau Asia Tenggara, Thailand menjadi negara pertama yang melaksanakan penggunaan teknologi tersebut pada musim ini.

Malaysian Football League (dahulu dikenali sebagai FMLLP) dan FAM pernah mengumumkan mahu menggunakan teknologi tersebut pada 2017, bermula saingan Liga Malaysia 2018.

Perkara itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan sehingga ke hari ini disebabkan pelbagai kekangan terutama daripada segi kos.

Penggunaan VAR di Liga Malaysia bagaimanapun mulai diperkatakan semula pada awal musim ini selepas beberapa keputusan kontroversi melibatkan pengadil.

Leave a Reply