Buat julung kalinya, permainan yang menggabungkan bola sepak dan golf iaitu FootGolf bakal mempunyai liga kompetitif yang pertama di negara ini.
Populariti yang meningkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta larangan sukan bersentuhan oleh kerajaan satu masa dahulu membuatkan ianya mula dimainkan secarap meluas oleh orang ramai.
Tawar hadiah lumayan
Dianjurkan oleh FootGolf Malaysia, liga yang diberi nama microLEAP Footgolf League ini bakal menyaksikan penyertaan seramai 160 pemain membabitkan 21 pasukan.
Dimainkan selama lima bulan, terdapat 21 perlawanan akan dilalui mereka dengan aksi yang bakal diadakan di Pusat Golf Bukit Jelutong, Selangor dengan saingan bakal bermula pada hujung minggu ini.
Untuk edisi pertama, wang kemenangan terkumpul sebanyak RM 8,500 bakal menanti juara.
Menurut Jeffrey Cottam yang merupakan pengurus besar FootGolf Malaysia, beliau berharap dengan wujudnya saingan liga akan memberikan lebih publisiti kepada orang ramai mengenai permainan ini.
“Kami amat berbangga kerana akhirnya dapat memulakan saingan microLEAP FootGolf League ini. Dalam masa yang singkat, sukan ini dapat menarik perhatian ramai pihak.”
“Saya berharap ianya akan menjadi titik tolak kepada permulaan kesedaran mengenai footgolf sebagai sukan dan akan memberi inspirasi kepada lebih ramai peminat, komuniti bola sepak, golf dan sukan lain bersama.”
FootGolf Malaysia bekerjasama dengan microLEAP yang merupakan syarikat platform kewangan patuh syariah tempatan yang menjadi penaja kejuaraaan (title sponsor) bagi saingan sulung sukan ini.
Selain microLEAP, Astro juga turut serta sebagai penyiar bagi saingan ini.
Kredit gambar: Aremilworks