Dua wakil kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Everton mencatatkan kemenangan bergaya pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Europa awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan juga dilihat menyenaraikan barisan pemain ‘kedua’ pada perlawanan yang pada hakikatnya tidak memberikan sebarang makna itu.
Hal ini kerana Arsenal terlebih dahulu telah layak ke pusingan seterusnya manakala Everton yang turun ke Cyprus bertemu Apollon Limassol sudah pun terkeluar daripada saingan.
Arsenal lawan BATE Borisov (6-0)
Arsenal yang beraksi dihadapan penyokong sendiri menanti kunjungan wakil dari Belarus ini dengan menyandarkan harapan kepada Olivier Giroud bagi merobek kubu pasukan lawan itu.
Anak buah Arsene Wenger itu berjaya menghasilkan 3 jaringan pada babak pertama hasil sentuhan daripada Mathieu Debuchy (minit ke-11), Theo Walcott (minit ke-37) dan Jack Wilshere ketika perlawanan separuh masa pertama berbaki 2 minit untuk ditamatkan.
Tidak cukup dengan itu, The Gunners menambah 3 lagi jaringan pada babak kedua masing-masing menerusi jaringan sendiri dari pertahanan tengah pelawat iaitu Denis Polyakov, Olivier Giroud dan Mohamed Elneny untuk melengkapkan pesta gol buat Arsenal pada perlawanan ini.
Kemenangan ini tidak mengubah kedudukan di kumpulan H apabila Arsenal berada ditangga teratas kumpulan dengan mencatatkan 13 mata.
Kelab dari Serbia, FK Crvena Zvezda atau lebih dikenali sebagai Red Star Belgrade mengiringi Arsenal untuk layak ke pusingan seterusnya.
Apollon Limassol lawan Everton (0-3)
Everton bertandang ke Stadium Tsirion di Cyprus beraksi tanpa pengendali yang baru dilantik, Sam Allardyce.
Pembantu beliau, Craig Shakespeare dan Duncan Ferguson mengambil alih tugas sementara pada perlawanan ini dengan menyenaraikan barisan muda.
Hasil daripada perlawanan ini cukup positif apabila dua pemain muda berbakat besar berusia 20 tahun, Ademola Lookman berjaya mencipta dua jaringan dan Nikola Vlasic menambah jaringan ketiga buat Everton.
Kejayaan mencatatkan tiga mata penuh ini juga adalah kemenangan pertama The Toffees dalam kancah Liga Europa musim ini.
Langkah merehatkan pemain utama juga sangat penting buat kelab dari Merseyside ini apabila mereka bakal berdepan musuh setempat, Liverpool pada perlawanan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.