16 pasukan yang masih berada dalam kancah Liga Europa musim ini sudah mengetahui bakal lawan masing-masing. Sebentar tadi, undian dilakukan di Nyon, Switzerland.
Pada pusingan ini, 16 pasukan ini tidak akan diasingkan mengikut liga domestik ini. Hanya kelab Rusia dan Ukraine tidak akan diundi bersama sebagaimana musim-musim sebelum ini.
Perlawanan pertama akan dilangsungkan pada 7 Mac 2019. Perlawanan kedua dijadualkan pada seminggu kemudian iaitu 14 Mac 2019.
Chelsea dan Arsenal
Juara musim 2012/13, Chelsea diundi berhadapan wakil Ukraine, Dynamo Kyiv. Kelab Inggeris itu telah menewaskan Malmo dari Sweden melalui agregat 5-1 dalam pusingan 32 terbaik.
Seteru sesama London, Arsenal pula diundi menentang Rennes dari Perancis. The Gunners menewaskan kelab Belarus, BATE Borisov menerusi agregat 3-1 pada fasa sebelum ini.
Arsenal pernah mara ke final kejohanan ini pada musim 1999/2000 ketika di bawah kendalian Arsene Wenger. Pada ketika itu, kejohanan ini masih dikenali sebagai Piala UEFA.
Memburu gelaran keenam
Selaku juara terbanyak Liga Europa iaitu 5 kali, Sevilla juga menerima tumpuan. Slavia Praha dari Republik Czech akan menjadi pencabar kelab Sepanyol itu.
Kelmarin, mereka menewaskan Lazio dari Itali dalam perlawanan kedua dengan dua gol tanpa balas. Mereka mara ke pusingan 16 terbaik melalui agregat 3-0.
Mampukah Sevilla berjaya menjulang trofi keenam pertandingan kedua terpenting bola sepak peringkat kelab di Eropah?
Juara musim 2003/04, Valencia pula dipertemukan dengan Kransodar dari Rusia.
Undian penuh
Pemenang bagi setiap perlawanan akan meraih tiket ke pusingan suku akhir. Undian suku akhir akan dilakukan pada 15 Mac nanti.
Berikut merupakan undian penuh pusingan 16 terbaik Liga Europa musim 2018/19.
Perlawanan manakah yang anda akan berikan tumpuan? Pasukan pilihan anda manakah yang ingin dilihat sewaktu perlawanan akhir di Baku pada Mei nanti?