Meskipun seri 1-1 pada perlawanan kedua, ia masih belum mencukupi untuk menyelamatkan Burnley untuk mara ke peringkat kumpulan Liga Europa musim ini.
Memukau
Pada perlawanan pagi tadi di Turf Moor, Casteli Podence menjaringkan gol untuk Olympiakos pada minit ke-83. Pemain Burnley, Matej Vydra menyamakan kedudukan 3 minit kemudian.
Tetapi, kelab Inggeris itu tewas menerusi agregat 4-2. Pada perlawanan pertama minggu lalu, Olympiakos mengalahkan Burnley dengan skor 3-1.
Semasa ditemubual oleh BBC, pengurus Burnley Sean Dyche mengakui anak buahnya telah mencipta banyak peluang dan bermain baik untuk mendapatkan gol.
Sean turut menyatakan kelabnya menemui identiti sebenar dalam permainan mereka. Meskipun mereka tumbang dalam perlawanan ini, mereka telah menemui jalan untuk bangkit kembali.
Rangers bergelut
Kelab ulung Scotland, Rangers berhadapan cabaran sukar dalam perlawanan timbal balik. Bagi perlawanan play-off, Rangers diundi menentang kelab Rusia, Ufa
Pemain Rangers, Ovia Ejaria menjadi penjaring pertama perlawanan seawal minit ke-9. Ufa bernafas seketika melalui gol penyamaan oleh Dmitri Sysuev pada minit ke-32.
Alfredo Morelos menjadi pemain Rangers pertama dibuang padang dalam perlawanan ini pada minit ke-38. Mereka terikat 1-1 sehingga tamat separuh masa.
Jon Flanagan pula dikenakan kad merah pada minit ke-66. Rangers terpaksa beraksi dengan 9 pemain sehingga tamat permainan.
Rangers mara ke peringkat kumpulan menerusi agregat 2-1.
Celtic lepasi cabaran
Perlawanan timbal balik antara Celtic Glasgow menentang Suduva Marijampole melihatkan penguasaan kelab Scotland itu. Suduva Marijampole merupakan kelab Lithuania.
Leigh Griffiths dan Callum McGregor menjadi penyumbang gol The Bhoys untuk perlawanan pagi tadi di Celtic Park. Kristoffer Ajer turut menjadi penjaring gol buat tuan rumah.
Celtic menewaskan Suduva menerusi agregat 4-1.
Undian peringkat kumpulan
Nasib 48 pasukan yang bertanding dalam Liga Europa akan diketahui pada lewat hari ini. Undian akan diadakan di Monaco.
Berikut merupakan balang untuk undian hari ini:
Balang 1: Sevilla (Sepanyol), Arsenal (England), Chelsea (England), Zenit St. Petersburg (Rusia), Bayer Leverkusen (Jerman), Dynamo Kyiv (Ukraine), Beşiktaş (Turki), Red Bull Salzburg (Austria), Olympiacos (Greece), Villarreal (Sepanyol), Anderlecht (Belgium), Lazio (Itali).
Balang 2: Sporting Lisbon (Portugal), Ludogorets (Bulgaria), København (Denmark), Marseille (Perancis), Celtic (Scotland), PAOK (Greece) AC Milan (Itali), Genk (Belgium), Fenerbahçe (Turki), Krasnodar (Rusia), Astana (Kazakhstan), Rapid Wien (Austria).
Balang 3: Real Betis (Sepanyol), BATE Borisov (Belarus) Qarabağ (Azerbaijan), Dinamo Zagreb (Croatia), Red Bull Leipzig (Jerman), Eintracht Frankfurt (Jerman), Malmö (Sweden), Spartak Moskva (Rusia), Standard Liège (Belgium), Zürich (Switzerland), Bordeaux (Perancis), Rennes (Perancis).
Balang 4: Apollon (Cyprus), Rosenborg (Norway), Vorskla Poltava (Ukraine), Slavia Praha (Republik Czech), Akhisar Belediyespor (Turki), Jablonec (Republik Czech), AEK Larnaca (Cyprus) Vidi (Hungary), Rangers (Scotland) Dudelange (Luxembourg), Spartak Trnava (Slovakia), Sarpsborg (Norway).
Adakah pasukan anda menyertai kejohanan musim kali ini? Atau anda memilih pasukan untuk ditonton dalam saingan pada musim ini?