Wakil England, Burnley semakin menghampiri saingan kumpulan Liga Europa selepas berjaya menundukkan Istanbul Beseksehir 1-0 di Turf Moor pada awal pagi tadi.
Pemain tengah berusia 29 tahun, Jack Cork muncul wira The Clarets apabila jaringannya pada masa tambahan telah membawa kelab tersebut ke pusingan kelayakan terakhir.
Kedua-dua pasukan sebelum ini hanya terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama yang berlangsung di Istanbul.
Burnley bagaimanapun tidak diberikan cabaran mudah oleh skuad yang dibimbing Abdullah Avci di sepanjang perlawanan.
Sebaliknya, Istanbul Beseksehir dilihat lebih menguasai permainan serta mencipta banyak peluang memburu jaringan.
Penjaga gol berpengalaman England, Joe Hart ternyata bertindak cemerlang dalam menghalang beberapa percubaan yang dilancarkan oleh barisan serangan pasukan pelawat.
Usaha yang dilakukan Edin Visca, Karim Frei Koyunlu dan Emmanuel Adebayor masih gagal menembusi kekebalan gawang gol Joe Hart.
Kemasukan Jack Cork pada minit ke-82 jelas mengubah segalanya buat skuad bimbingan Sean Dyche.
Cork cemerlang apabila menghasilkan rembatan pada masa tambahan (minit ke-97) bagi memecah kebuntuan yang sekaligus menempah pertemuan pusingan kelayakan terakhir (play-off) menentang wakil Greece, Olympiakos.
Dengan kemenangan ini menyaksikan Burnley melebarkan rekod tanpa dibolosi dalam tiga perlawanan selepas terikat tanpa jaringan ketika bertemu Istanbul Beseksehir serta menentang Southampton pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.