Liga Europa 2018/19: Arsenal, Chelsea, Leverkusen & AC Milan Catat Kemenangan Kedua

Liga Europa

Beberapa pasukan nama besar dalam saingan Liga Europa 2018/19 melakarkan kemenangan kedua dalam peringkat kumpulan selepas menundukkan lawan masing-masing awal pagi tadi.

Arsenal yang berkunjung ke Azerbaijan menang mudah 3-0 menentang FK Qarabag manakala satu lagi wakil England, Chelsea berhempas pulas sebelum meraih kemenangan 1-0 menentang MOL Vidi FC di Stamford Bridge.

Bayer Leverkusen pula menang 4-2 bertemu AEK Larnaca (Cyprus) dan wakil Itali, AC Milan mencatatkan kemenangan 3-1 keatas Olympiakos pada perlawanan yang berlangsung di San Siro.

FK Qarabag (0) Arsenal (3)

Arsenal yang bertandang keBaki Olimpiya Stadionu tidak menunggu lama bagi membuka tirai jaringan setelah Sokratis Papastathopoulos meledakkan jaringan seawal minit keempat perlawanan.

Jaringan berpunca selepas tandukan yang dilakukan Nacho Monreal terkena Sokratis yang terus menggegarkan gawang gol tuan rumah.

Jaringan kedua The Gunners pula terhasil pada minit ke-53 menerusi pemain berusia 18 tahun, Emile Smith-Rowe dan Matteo Guendouzi menambah jaringan ketiga pada minit ke-80.

Chelsea (1) MOL Vidi FC (0)

Skrip yang sama dicipta Chelsea seperti perlawanan pembukaan bertemu PAOK Thessaloniki FC tempoh hari apabila hanya satu jaringan sahaja dihasilkan.

Jika di Greece, Willian menjadi wira buat The Blues, aksi di Stamford Bridge awal pagi tadi menyaksikan Alvaro Morata meletakkan nama selaku penjaring kemenangan pada minit ke-70.

Bayer Leverkusen (4) AEK Larnaca (2)

Enam jaringan terhasil di BayArena dan tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan menerusi jaringan Ivan Trickovski pada pertengahan aksi di babak pertama.

Leverkusen bagaimanapun tidak membiarkan aksi babak pertama dengan ketinggalan apabila Kai Havertz kembali menyamakan kedudukan ketika aksi 45 minit pertama hanya tinggal seminit untuk ditamatkan.

Berpunca daripada gerakan yang dimulakan Karim Bellarabi yang melakukan hantaran ke belakang buat Havertz, pemain kelahiran Aachen, Jerman itu tidak melepaskan peluang untuk kembali menyamakan kedudukan.

Ketika perlawanan babak kedua baru sahaja berlangsung selama empat minit, Lucas Alario memberikan jaringan pendahuluan buat Leverkusen. Alario menambah jaringan kedua peribadinya sekaligus menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-88.

Pasukan pelawat masih belum berputs-asa bagi kembali meraih jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-90 setelah Dimitris Raspas merapatkan jurang.

Bagaimanapun usaha itu dinafikan Julian Brandt yang menjaringkan gol keemapat buat Leverkusen pada masa kecederaan untuk keputusan penuh 4-2 memihak skuad bimbingan Heiko Herrlich itu.

AC Milan (3) Olympiakos (1)

AC Milan turut menerima nasib yang sama seperti Bayer Leverkusen apabila mereka terlebih dahulu ketinggalan sebelum bangkit untuk meraih kemenangan kedua ini.

Guerrero yang menerima hantaran dari sebelah kanan pintu gol Milan, menanduk masuk bola untuk menewaskan Pepe Reina pada minit ke-14.

Jaringan tunggal tersebut kekal hingga tamat babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, aksi berubah apabila AC Milan berjaya mencipta tiga jaringan dalam masa 10 minit.

Dimulakan dengan jaringan penyamaan oleh Patrick Cutrone pada minit ke-70, Gonzalo Higuain menggandakan kedudukan berselang enam minit kemudian.

Cutrone sekali lagi meledak dengan jaringan pada minit ke-79 untuk menghadiahkan kemenangan kedua dalam saingan Liga Europa buat skuad bimbingan Gennaro Gattuso itu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN