Liga Europa 2018/19: Arsenal & Chelsea Lengkapkan Penguasaan Kelab Inggeris Di Pentas Eropah

Liga Europa

Detik gemilang bagi Liga Perdana Inggeris terus menghiasi pentas bola sepak Eropah musim ini setelah dua kelab London, Arsenal dan Chelsea mengesahkan tempat ke peringkat akhir Liga Europa, awal pagi tadi.

Kejayaan yang merintis jalan ke perlawanan akhir di Baku, Azerbaijan itu bagaimanapun cukup berbeza dilalui kedua-dua pasukan apabila Arsenal mudah menundukkan Valencia 4-2 di Mestalla sekaligus merakamkan kemenangan 7-3 secara agregat.

VALENCIA, SPAIN – MAY 09: Lucas Torreira and Ainsley Maitland-Niles of Arsenal celebrate victory with teammates as Pierre-Emerick Aubameyang jumps on top after the UEFA Europa League Semi Final Second Leg match between Valencia and Arsenal at Estadio Mestalla on May 09, 2019 in Valencia, Spain. (Photo by Alex Caparros/Getty Images)

Chelsea pula terpaksa menanti sehingga ke penentuan sepakan penalti untuk menumpaskan Eintracht Frankfurt 4-3 selepas aksi 120 minit terikat dengan keputusan 1-1 (agregat 2-2).

Valencia lawan Arsenal

Tuan rumah yang ketinggalan dua jaringan tetapi memiliki bekalan satu gol di tempat lawan bermula dengan meyakinkan apabila mencipta beberapa gerakan berbahaya ke kubu Arsenal.

Jaringan awal yang diharapkan skuad bimbingan Marcelino Garcia itu menjelma pada minit ke-11 menerusi Kevin Gameiro.

VALENCIA, SPAIN – MAY 09: Pierre-Emerick Aubameyang of Arsenal scores his team’s first goal during the UEFA Europa League Semi Final Second Leg match between Valencia and Arsenal at Estadio Mestalla on May 09, 2019 in Valencia, Spain. (Photo by Alex Caparros/Getty Images)

Menerusi satu gerakan balas pantas dan kemudiannya menerima hantaran lintang daripada Rodrigo, Gameiro menghulurkan kaki  bagi menolak masuk bola membolosi gawang Arsenal yang dikawal Petr Cech.

Dalam keghairahan Valencia menggandakan asakan, Pierre-Emerick Aubameyang berjaya meledakkan jaringan dari luar kawasan penalti pada minit ke-17.

Aksi babak kedua bersambung menyaksikan Arsenal pula berada di depan pada minit ke-50 hasil rembatan Alexandre Lacazette dalam kawasan penalti.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan lapan minit sahaja selepas bola rembatan Rodrigo terkena Gameiro yang mengelirukan Cech untuk kedudukan kembali terikat.

Dua jaringan Aubameyang pada minit ke-70 dan 88 mematikan sisa perjuangan Valencia sekaligus penyerang skuad kebangsaan Gabon itu melengkapkan hatrik pada perlawanan ini.

Chelsea lawan Eintracht Frankfurt

Chelsea tidak diberikan laluan mudah oleh Frankfurt selepas The Blues diheret ke penentuan sepakan penalti.

Skuad bimbingan Maurizio Sarri membuka tirai jaringan pada minit ke-28 apabila Ruben Loftus-Cheek menerima lorongan cantik daripada Eden Hazard dengan tenang melakukan sepakan ‘placing’ yang gagal dihalang Kevin Trapp di gawang pasukan pelawat.

Jaringan tunggal pemain tengah berusia 23 tahun itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Baru empat minit aksi kembali bermula, Eintracht Frakfurt kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Luka Jovic.

Kelalaian David Luiz yang tidak mengawal ketat pergerakan Jovic nyata memakan diri apabila penjaring 10 gol saingan Liga Europa itu tidak berdepan masalah menewaskan Kepa Arrizabalaga.

Aksi selepas itu menarik untuk disaksikan dengan serangan demi serangan yang dilancarkan tetapi ia masih tidak mampu untuk menghasilkan jaringan.

Dua peluang keemasan Frankfurt menjelma pada masa tambahan 30 minit yang menyaksikan Kepa Arrizabalaga sudah pun tertewas tetapi David Luiz dan Davide Zappacosta berjaya menyelamatkan bola di atas garisan.

Pemenang akhirnya terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dengan sepakan pertama bagi kedua-dua pasukan disempurnakan oleh Sebastien Haller dan Ross Barkley.

LONDON, ENGLAND – MAY 09: Kepa Arrizabalaga of Chelsea saves a penalty from Goncalo Paciencia of Eintracht Frankfurt in the penalty shoot out during the UEFA Europa League Semi Final Second Leg match between Chelsea and Eintracht Frankfurt at Stamford Bridge on May 09, 2019 in London, England. (Photo by Catherine Ivill/Getty Images)

Luka Jovic tenang menyempurnakan sepakan kedua walaupun Kepa sudah dapat membaca arah sepakan yang diambil.

Kem Chelsea pula terkedu buat seketika setelah sepakan diambil kapten, Cesar Azpilicueta berjaya ditepis Trapp.

Jonathan De Guzman dan Jorginho tidak berdepan masalah menjaringkan gol pada sepakan ketiga.

Kepa muncul wira buat Chelsea apabila beliau berjaya menafikan dua sepakan penalti yang diambil Martin Hinteregger dan Goncalo Paciencia.

Ketika Luiz menyempurnakan sepakan keempat, tumpuan terarah kepada sepakan terakhir yang dilakukan Eden Hazard dan bintang Chelsea itu mudah menyempurnakan peluang tersebut untuk membawa The Blues ke perlawanan akhir.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN