Quantcast

BERITA

Liga Europa 2018/19: Arsenal & Chelsea Kibar Bendera England Di Separuh Akhir

Dua kelab London, Arsenal dan Chelsea melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Liga Europa 2018/19 selepas berjaya menundukkan lawan masing-masing pada aksi suku akhir kedua, awal pagi tadi.

Jaringan tunggal Lacazette sudah memadai

The Gunners yang bertandang ke Itali dengan kelebihan dua jaringan, layak secara aggregat 3-0 apabila Alexandre Lacazette menjaringkan gol tunggal menerusi sepakan percuma pada minit ke-36.

Sepakan cantik ke sebelah kiri pintu gol Napoli itu hanya mampu dilihat penjaga gol, Alex Meret.

Usaha kedua-dua pasukan selepas itu bagi memburu jaringan gagal menemui hasil yang diharapkan untuk membawa skuad bimbingan Unai Emery tersebut peringkat empat pasukan terbaik.

Chelsea berjaya sekat kebangkitan Slavia Prague

Sementara itu, Chelsea berjaya menyerap kebangkitan yang cuba dilakukan wakil Republik Czech, Slavia Prague untuk menang 4-3 di Stamford Bridge.

Ini bermakna The Blues berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dengan aggregat 5-3 selepas menang 1-0 di tempat lawan tempoh hari.

Pedro hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan selepas gerakan menarik bersama Cesar Azpilicueta dan Olivier Giroud disudahkan dengan kemas untuk gol pendahuluan.

Berselang empat minit kemudian, tuan rumah melebarkan kedudukan apabila Simon Deli tertanduk bola masuk ke gawang sendiri hasil percubaan awal Pedro yang terkena palang gol.

Giroud menjadikan kedudukan 3-0 selepas mudah menolak masuk hantaran lintang daripada Pedro bagi memberikan kelebihan yang cukup selesa buat Chelsea hanya selepas 17 minit perlawanan berlangsung.

LONDON, ENGLAND – APRIL 18: Ross Barkley and Pedro of Chelsea celebrate their second goal, an own goal scored by Simon Deli of SK Slavia Praha during the UEFA Europa League Quarter Final Second Leg match between Chelsea and Slavia Praha at Stamford Bridge on April 18, 2019 in London, England. (Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Pasukan pelawat berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-26 menerusi Tomas Soucek yang menanduk masuk bola hasil sepakan sudut diambil Petr Sevcik.

Pedro terus cemerlang setelah menghasilkan gol keempat buat Chelsea di minit ke-27 bagi menjadikan kedudukan aggregat 5-1.

Slavia Prague bangkit melawan pada babak kedua dan berjaya menambah dua jaringan dalam tempoh empat minit menerusi Sevcik.

Sevcik meledakkan dua rembatan kaki kiri pada minit ke-51 dan 54 bagi menewaskan Kepa Arrizabalaga di gawang Chelsea.

Namun kedudukan 4-3 itu kekal hingga tamat perlawanan untuk memberikan kelegaan buat Chelsea dan penyokong setia mereka.

Separuh akhir Liga Europa 2018/19

Arsenal dijadualkan bertemu Valencia yang berjaya menundukkan satu lagi wakil Sepanyol, Villareal dengan aggregat 5-1 manakala Chelsea pula akan menanti cabaran wakil Jerman, Eintracht Frankfurt.

Frankfurt yang menang 2-0 di laman sendiri layak selepas memiliki kelebihan di jaringan di tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara aggregat menentang Benfica.