Nasib berbeza dialami dua wakil Itali selepas AC Milan terpaksa akur kecundang di laman sendiri manakala Lazio unggul menewaskan finalis musim lalu, Marseille.
AC Milan (1) Real Betis (2)
AC Milan yang dibimbing Gennaro Gattuso menanti kunjungan Real Betis di San Siro dengan rekod dua kemenangan awal.
Bagaimanapun, beraksi di hadapan penyokong sendiri langsung tidak memberikan kelebihan buat mereka selepas ketinggalan pada minit ke-30.
Berpunca dari hantaran lintang oleh Giovani Lo Celso yang gagal ditangkap kemas Pepe Reina, memberikan peluang buat Antonio Sanabria untuk menolak masuk bola untuk membuka tirai jaringan.
Pasukan pelawat hampir menggandakan kedudukan hanya berselang tiga minit kemudian sekali lagi menerusi Sanabria, mujur Sergio Leon terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Lo Celso kemudiannya meletakkan namanya selaku penjaring pada minit ke-54 menerusi satu percubaan menarik dari jarak jauh yang sekaligus menjadikan kedudukan 2-0 buat Real Betis.
Samuel Castillejo terlepas peluang menjaringkan gol buat AC Milan pada minit ke-73 selepas rembatan luar kawasan penalti yang dilepaskannya sekadar terkena tiang gol bagi menggagalkan percubaan tersebut.
Castillejo kemudiannya berjaya melakukan bantuan jaringan terhadap gol yang dihasilkan pada minit ke-83 untuk AC Milan kembali merapatkan kedudukan.
Namun, selepas itu malang menimpa pemain berusia 23 tahun itu pada masa kecederaan selepas beliau dilayangkan kad merah akibat kekasaran terhadap pemain Real Betis.
Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat permainan untuk AC Milan mengalami kekalahan pertama dalam saingan Liga Europa musim ini.
Marseille (1) Lazio (3)
Nasib berbeza buat satu lagi pasukan Serie A apabila Lazio tidak berdepan masalah untuk menewaskan Marseille 3-1 di
Stade Orange Velodrome.
Pemain pertahanan, Wallace meletakkan Lazio di hadapan pada minit ke-10 setelah beliau berjaya menanduk bola hasil sepakan penjuru yang diambil Lucas Leiva.
Felipe Caicedo dengan tenang menambah jaringan di minit ke-59 selepas menerima lorongan kemas daripada Ciro Immobile.
Dimitri Payet kembali merapatkan kedudukan pada penghujung aksi babak kedua menerusi satu sepakan percuma yanng cukup berkualiti dan terus menerjah gawang Lazio yang dikawal Thomas Strakosha.
Pemain gantian Lazio, Adam Marusic menoktahkan sisa perjuangan tuan rumah dengan rembatan kaki kiri dari luar kawasan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1 sehingga tamat permainan.
Ternyata jaringan-jaringan yang terhasil pada perlawanan ini memperlihatkan kualiti yang sangat baik.
Lazio kini menghuni tangga kedua dengan mengumpul enam mata, ketinggalan tiga mata dibelakang pendahulu kumpulan H,Eintracht Frankfurt manakala Marseille pula di tangga ketiga dengan satu mata.