Pemain yang dilabel bintang masa depan bola sepak Indonesia, Nyoman Paul beralih angin menyertai Indonesia Idol dek kerana Liga 2 Indonesia 2022/23 dibatalkan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).
Mungkin melihat masa depan yang semakin samar, pemain PSDS Deli itu akhirnya mengikut nasihat ibunya mencuba nasib ke bidang nyanyian.
Pemain yang beraksi di posisi bek kiri itu ternyata pernah menarik minat pengendali Indonesia, Shin Tae-yong sehingga beliau memilih untuk kembali ke Indonesia dari Sweden pada September 2020 – lebih dua tahun lalu.
Paul juga pernah dikaitkan akan membarisi skuad B-19 Indonesia bersama-sama Elkan Baggott dan Jack Brown untuk saingan Piala Dunia B-20.
https://www.instagram.com/p/CPVUOC8Bhr8/
Indonesia layak sebagai tuan rumah untuk edisi yang dijangka berlangsung pada Mei hingga Jun 2021 itu, namun ia dibatalkan gara-gara Covid-19.
Bagaimana terbantutnya hasrat Indonesia untuk beraksi di Piala Dunia B-20, begitu jugalah terbantutnya impian Paul untuk menyarung jersi skuad itu.
Beliau layak untuk bersama Sang Garuda disebabkan berdarah kacukan Indonesia-Finland seperti mana dua rakannya, Elkan Baggott dan Jack Brown yang juga merupakan antara pemain berdarah kacukan Indonesia.
Saat namanya tidak terpilih dalam senarai 46 pemain yang akan mengikuti latihan pusat skuad B-19, beliau nekad perlu menunjukkan bakatnya di bumi Indonesia dan itulah punca beliau telah meninggalkan kelabnya di Sweden.
Ketika itu Paul sedang beraksi bersama Skovde AIK di divisyen 3, Sweden. Pada awalnya beliau pulang sebagai pemain pinjaman ke Barito Putera yang bersaing di Liga 1 Indonesia sebelum kembali sebagai pemain tetap dengan menyertai Kalteng Putra FC di Liga 2 Indonesia pada Oktober 2021.
Secara tiba-tiba, kelibat dan namanya muncul di kaca televisyen apabila menyertai sebuah rancangan realiti nyanyian, Indonesia Idol musim ke-12.
“Kejohanan itu [Liga 2] ditunda dan dihentikan untuk sementara. Malah, ibu saya cakap, jangan main bola sepak dahulu. Jadi, dikesempatan ini, saya berharap akan mendapat pengalaman di dunia muzik sebagai bekalan di masa depan,” memetik kata-katanya kepada Indonesian Idol sebelum ini.
Berusia 22 tahun, Paul ternyata seperti sudah berputus asa dengan masa depannya dalam dunia bola sepak apabila pertandingan tersebut dibatalkan dengan tiada apa-apa kenyataan bila ia akan kembali berlangsung semula.
Malah, prestasinya dalam pertandingan nyanyian itu bukanlah biasa-biasa. Beliau mendapat perhatian daripada Dikta, David Bayu dan Bunga Citra Lestari yang memilihnya pada sesi uji bakat yang berlangsung Disember.
Beliau juga melepasi tiga sesi penyingkiran sebelum layak beraksi di pentas ‘showcase’ atau ‘top’ 22 dan kini sudah berada dalam pusingan ‘top’ 17.
Saat ini, tampak percaturannya berbaloi apabila sudah melepasi beberapa halangan selepas ambil keputusan sertai Indonesia Idol dari Liga 2.