Daripada kalangan 55 ahli UEFA, Liechtenstein satu-satunya tiada liga bola sepak sendiri. Semua kelab bola sepak yang berada di negara itu beraksi di liga negara jirannya, Switzerland.
Malah, Kosovo, Kepulauan Faroe malah San Marino mempunyai liga sendiri! Aneh bukan?
7 kelab
Sebenarnya ada 7 kelab yang berdaftar wujud di negara ini. Kurang 1 dari angka genap untuk mewujudkan sebuah liga yang asas.
Namun begitu, UEFA telah menetapkan laluan untuk kelab Liechtenstein ini beraksi dalam kejohanan peringkat kelab. Tiket UEFA Europa League diberikan kepada pemenang Liechenstein Cup.
Maaflah, tiada tempat untuk UEFA Champions League! Namun begitu, tempat kejohanan kelab utama Eropah itu akan diberikan jika wakil Liechenstein menjuarai liga Switzerland.
Tetapi, ia perkara tidak pernah (dan mungkin) akan berlaku. Ini kerana liga Switzerland ada kelab-kelab gergasi seperti FC Basel dan Young Boys.
FC Vaduz, raja Liechenstein
Jika hanya satu sahaja trofi direbut kelab bola sepak Liechtenstein, kelab manakah menjadi raja? FC Vaduz merupakan jawapannya.
FC Vaduz merangkul 45 kali Liechtenstein Cup dengan kali terakhir menjulangnya pada musim 2016-17. Pesaing mereka ialah FC Balzers. Kelab itu memenanginya sebanyak 11 kali.
Penguasaan FC Vaduz sejak 1998 dinafikan sekali oleh USV Eschen Mauren. USV Eschen Mauren memenangi Liechtenstein Cup pada musim 2011-12.
FC Vaduz kini bermain di Divisyen 2 Switzerland, diturunkan liga selepas menduduki carta terbawah Swiss Super League musim lalu. Namun ia tidak menghalang untuk beraksi dalam kancah UEFA Europa League musim ini.
Vaduz tewas kepada kelab Norway, Odds BK dalam pusingan kedua kelayakan. Mereka tewas agregat 2-0.
Mana lagi 1?
Rasanya tidak salah sekiranya Liechtenstein mewujudkan satu pasukan khas untuk menggenapkan bilangan demi mewujudkan liga. Atau pun membuka pasukan belia Liechtenstein.
Tidak pun menjemput pasukan dari negara jiran terdekat untuk menyertainya. Pasti UEFA akan memberi tiket untuk ke UEFA Champions League jika menjuarai liga sendiri.
Maknanya, tidaklah perlu berharap pada liga Switzerland lagi!