Robert Lewandowski mengkritik pendekatan taktikal Niko Kovac selepas kekalahan 1-3 Bayern di tangan Liverpool.
Dalam perlawanan pertama di Anfield, Niko Kovac mengakui mengarahkan para pemain Bayern untuk sengaja berpura-pura cedera bagi melengahkan perlawanan. Ini untuk memastikan mereka tidak kalah dan bolos.
Penjelasan itu tidak disenangi oleh penyokong Bayern Munich kerana skuad mereka ada segala kualiti untuk bersaing secara terbuka dan cuba membawa pulang gol dari tempat lawan.
Namun kali ini – selepas tersingkir daripada UCL – Lewandowski bising dengan gaya permainan Bayern yang dianggap terlalu negatif ataupun defensif berhadapan dengan Liverpool.
Bayern lebih fokus kepada sistem untuk turun ke bawah segera untuk menyerap serangan di blok rendah.
Sadio Mane membuka tirai jaringan pada minit ke-26 selepas menerima hantaran daripada Van Dijk. Joel Matip tertampan bola ke gawang sendiri, tidak lama selepas itu. Namun pada separuh masa kedua, Van Dijk dan Mane menambah 2 gol untuk Liverpool.
Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Lewandowski berkata: “Kami tahu ini akan menjadi perlawanan sukar. Namun dalam 2 perlawanan menentang mereka, kami bermain defensif.”
“Kami tidak cuba untuk menekan lawan ke hadapan dengan lebih ramai pemain – bagi mencetuskan sesuatu. Untuk perlawanan pertama dan hari ini [pendekatan kami sama].”
“Kami takut mengambul risiko, sedangkan kami bermain perlawanan di tempat sendiri. Rasanya itulah sebab kenapa Liverpool tewaskan kami.”
“Kami bermain terlalu ke bawah, tidak berani ambil risiko, saya pun tak tahu. Kami cuba untuk menekan Liverpool, namun ada beberapa situasi kami cuma mewujudkan 2 vs 4, ianya tidak cukup.”
“Itulah sebab kenapa kami tidak melakukan lebih banyak dalam perlawanan ini.”
Bayern Munich hanya melakukan 2 percubaan tepat dalam perlawanan ini berbanding dengan 6 yang dilakukan oleh Liverpool. Ianya pasti mengecewakan untuk pasukan seperti Bayern yang bermain di tempat sendiri.
Selain itu, Lewandowski berkata, pertarungan dengan Van Dijk sukar. Dan ia menjadi lebih sukar kerana tiada sokongan segera daripada rakan-rakan.
Lewandowski menjelaskan, biasanya akan ada pemain yang akan membantu untuk menerima dan merampas bola kedua selepas pertarungan duel itu.
“Hari ini saya berhadapan dengan banyak duel. Ianya sukar kerana saya berseorangan melakukannya. Jika kamu bersorangan berhadapan dengan 2 atau 3 pemain yang bagus, kamu akan berada dalam kesulitan.”
Ini bukan kali pertama Kovac dikecam pemain sendiri. Sebelum ini James Rodriguez pernah mengkritik taktikal Kovac yang dikatakan tidak sesuai untuk kelab besar seperti Bayern Munich.
Ini selepas Kovac tidak mahu melakukan pertukaran lebih ofensif untuk memenangi perlawanan dan selesa untuk membawa pulang 1 mata menentang Augsburg. Rodriguez dikatakan menyelar Kovac dengan berkata: “Ini bukan Frankfurt”.
According to the Bild, the mood at #FCBayern is not good. Especially James #Rodriguez is said to be angry with #Kovac and to have said in the locker room: "We are not in Frankfurt here !" pic.twitter.com/BGYEuwBSLS
— German Football Daily (@GERFootDaily) October 5, 2018
Jika di Frankfurt, Niko Kovac mungkin tiada masalah untuk cuba mempertahankan kedudukan seri 1-1.