Untuk mendapatkan yang terbaik daripada Takumi Minamino, bekas pengendalinya, Jesse Marsch menyatakan yang pemain itu perlu bermain di posisi Roberto Firmino.
Pengendali kelab Red Bull Salzburg itu dipetik berkata kepada Blood Red podcast, memainkan Minamino di posisi Mohamed Salah dan Sadio Mane akan mengurangkan impak pemain berusia 25 tahun itu kerana posisi tersebut tidak sesuai dengan dirinya.
Ketika ini, sejak menyertai The Reds pada Januari lalu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dilihat kerap memainkannya di posisi seakan-akan false nine.
“Dia [Minamino] tidak akan menjadi jika bermain di posisi [Mohamed] Salah dan [Sadio] Mane. Saya rasa dia akan lebih berkesan jika bermain di posisi Roberto Firmino,” ujar Marsch mengenai bagaimana Minamino mahu sesuaikan diri di Liverpool.
“Apabila bergerak tanpa bola, dia bersedia untuk membuat tekanan tetapi apabila bola berada bersamanya, dia seakan-akan bertindak sebagai pemain nombor 10 untuk membina asakan, masuk ke dalam kotak serta menjaringkan gol,” tambahnya.
“Firmino adalah pemain yang bagus, namun saya rasa Taki juga mampu melakukan perkara yang sama dengannya,” tegas pengendali berusia 46 tahun itu lagi.
Selain itu, Marsch juga merasakan yang Minamino sesuai untuk berada di posisi tengah dan dengan keupayaannya, dia mampu membina gerakan ke kubu lawan selain berperanan untuk mengutip bola di tengah. Jadi, posisinya adalah di nombor 8.
“Dan saya rasa, dia juga boleh bermain sebagai nombor 8 dalam sistem yang mereka bermain, di mana dia bersedia untuk memberikan tekanan dan membantu mengutip bola, disamping membantu pasukan membina serangan,” tambahnya lagi.
“Ini kerana dia sangat bijak, saya rasa samaada posisi Firmino ataupun mana-mana posisi di sisi pemain nombor 6 dalam sistem yang dimainkan di Liverpool adalah sesuai buat dirinya,” jelas Marsch mengenai posisi terbaik Minamino.
Pada saat ini, penyokong Liverpool masih belum dapat melihat kemampuan sebenar pemain tersebut namun, berdasarkan pandangan bekas pengendalinya yang sangat mengenali kelebihannya, para penyokong sepatutnya akan lebih teruja nanti.
KREDIT FEATURED IMAGE: DAILYMAIL