Pengarah sukan AC Milan, Leonardo Araujo menafikan spekulasi mengenai pemecatan jurulatih Gennaro Gattuso seperti yang dilaporkan sesetengah pihak sekiranya pasukan gagal mencapai kemenangan menentang pasukan di pertengahan carta liga, SPAL awal pagi ini sebelum rehat musim sejuk bermula.
Kenyataan Leonardo dikeluarkan awal pagi tadi menerusi Football Italia, selepas beliau ditanya mengenai status Gatusso di Milan.
Beliau menjelaskan bahawa sehingga hari ini pihak pengurusan masih belum melakukan sebarang perancangan sedemikian.
“Tiada perancangan untuk menggantikan Gattuso dan Milan tidak menghubungi sesiapa.”
Memperbaiki keadaan
Sebaliknya, Leonardo mengakui yang AC Milan kini bagaimanapun sedang berusaha memperbaiki keadaan untuk memastikan pasukan itu kembali ke prestasi yang sebenar.
“Kami cuba memperbetulkan keadaan, kami sedang memburu objektif untuk menamatkan (kempen) dalam kelompok empat terbaik.”
Tambahnya lagi, “Pemilik sedar akan situasi ini dan kami memerlukan kerjasama dari semua pihak.
“Kami perlu sedikit persefahaman untuk memperbetulkan situasi ini, kami tidak membeli 10 pemain dan kemudian mengubah segala-galanya.”
Tiada tawaran dari Chelsea
Selain itu, Leonardo turut menafikan spekulasi mengenai penyerang mereka, Gonzalo Higuian yang sedang hangat diperkatakan akan berpindah menyertai Chelsea.
“Chelsea? Tidak ada sebarang tawaran yang dibuat terhadapnya.”
Leonardo turut berkata, penyerang Argentina itu sama sekali tidak pernah meminta untuk berpindah meskipun terdapat desas desut yang mengatakan bahawa pemain itu mahu menyertai bekas pengurus, Maurizio Sarri dalam kancah Liga Perdana Inggeris.
“Tiada siapa bertanya kepada kami mengenainya dan dia juga tidak meminta untuk berpindah.”
Pemain berusia 31 tahun itu menyertai AC Milan secara pinjaman dari Juventus, Julai lalu selepas ketibaan Cristiano Ronaldo di Turin. Dia hanya meledak lima gol dalam 14 perlawanan.