Quantcast

BERITA

Leonardo Bonucci Tertarik Dengan Tawaran Lumayan PSG

PSG kini dilaporkan berminat untuk mendapatkan Leonardo Bonucci sekiranya situasi antara mereka dengan De Ligt tidak menunjukkan perkembangan positif.

PSG sebelum ini menolak permintaan pihak De Ligt yang mahu memasukkan klausa pelepasan di dalam kontrak beliau. PSG masih berharap akan dapat menandatangani pemain tersebut.

Tetapi, situasinya kini, Juventus dilaporkan sedang mendahului pesaing-pesaing yang lain untuk mendapatkan tandatangan Matthijs De Ligt.

Jika De Ligt ke Juventus; PSG akan cuba untuk mendapatkan pertahanan veteran Juventus, Leonardo Bonucci.

Ini kerana Thomas Tuchel menyedari gaya permainan Bonucci dan De Ligt adalah mirip. Kedua-dua mereka boleh menjadi bek tengah merangkap ‘playmaker’ dari garisan paling bawah.

Thomas Tuchel merupakan jurulatih yang menggunakan falsafah taktikal dengan binaan serangan daripada blok rendah.

Calcio Mercato melaporkan Leonardo Bonucci membuka pintu untuk PSG. Ini kerana kelab itu menawarkan gaji yang tinggi untuk beliau.

Selain itu, Bonucci juga melihat kehadiran De Ligt sebagai satu ancaman kepada kedudukan beliau dalam kesebelasan utama.

Bonucci beberapa tahu lalu pernah bertikam lidah dengan Max Allegri kerana disisihkan daripada kesebelasan utama. Dan selepas itu, Bonucci minta dijual ke AC Milan yang menawarkan beliau gaji lebih tinggi dan terus menjadikan beliau kapten.

Namun hanya setahun di AC Milan, Bonucci mendesak pula AC Milan menjual semula beliau ke Juventus.

Berbalik kepada cerita PSG dan Bonucci, kelab tersebut sedia menawarkan kontrak €7 juta semusim kepada Bonucci.

Sebagai rekod, gaji semasa Bonucci adalah €5.5 juta selepas beliau menerima pemotongan gaji sekitar €3 juta daripada apa yang beliau dapat di Milan – demi pulang semula ke Juventus.

Beberapa hari lalu, Maurizio Sarri memberitahu Gazzetta Dello Sport bahawa Bonucci akan tetap menjadi pemain penting dalam pasukan beliau meskipun kedatangan pemain bek tengah baharu – dipercayai merujuk kepada De Ligt.

Adakah Leonardo Bonucci akan meninggalkan Juventus sekali lagi?