Pada Isnin lalu, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mendedahkan 6 pasukan daripada Liga Super dan Liga Perdana gagal melengkapkan dokumen pendaftaran masing-masing, walaupun diberikan tiga peluang untuk berbuat demikian.
Manakala empat pasukan lagi telah berjaya melengkapkan pendaftaran masing-masing, namun mereka hantar selepas tarikh tutup yang ditetapkan oleh badan pentadbir bola sepak negara tersebut.
Dua daripada pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran ialah pasukan daripada Liga Super Malaysia, iaitu Kuala Lumpur FA dan Kelantan FA.
Mengulas mengenai isu tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam tidak menolak kemungkinan pasukan terbabit akan diberi peluang ‘kedua’ termasuk diberi ruang mengemukakan rayuan.
Beliau berkata kepada Berita Harian, bentuk hukuman yang bakal dikenakan ke atas pasukan tersebut akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah awal bulan depan.
“Seperti biasa, kes ini akan dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengarah pada minggu pertama bulan depan dan segala keputusan (hukuman) hanya akan ditentukan oleh Lembaga Pengarah.
“Kalau Lembaga Pengarah memberi hukuman ringan, itu mandat mereka. Tapi, bila keputusan dibuat, mungkin masih ada lagi ruang untuk pasukan mengemukakan rayuan.
“Contohnya, beberapa pasukan dipotong enam mata musim lalu, namun selepas membuat rayuan, hukuman itu dikurangkan kepada tiga mata,” katanya.
Kevin turut menjelaskan pihaknya sangat tegas kerana mahu memastikan Liga Malaysia dapat dijalankan dengan lebih professional dan lancar tanpa sebarang masalah teknikal bukan mahu menganiaya mana-mana pasukan.
“Kalau kita tidak tegas orang kata FMLLP tidak buat kerja, tapi bila kita bertindak tegas orang marah pula. Seperti saya katakan tujuan kita bukan untuk menghukum dan menganiaya pasukan.
“Memang ada pasukan berdepan kesulitan melengkapkan pendaftaran kerana beberapa masalah yang dihadapi mereka. Kita sebenarnya sedia membantu jika mereka (pasukan) sentiasa berhubung dengan FMLLP.
“Walaupun kita sedia membantu ada juga pasukan yang mendiamkan diri sedangkan peringatan sudah diberikan mengenai keperluan dan tarikh tutup melengkapkan pendaftaran pasukan,” katanya.
Dalam satu laporan yang disiarkan oleh Berita Harian kelmarin, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata mereka tidak mempunyai sebarang masalahs sekiranya Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengambil tindakan memotong mata pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran pasukan.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Agung badan induk bola sepak Asia itu, Datuk Windsor Paul John.
Menurut beliau, AFC menganggap tidak melihat tindakan oleh FMLLP itu sebagai masalah atau pun dijadikan isu kerana hukuman tersebut sudah ditetapkan dalam peraturan liga di peringkat domestik.