Kisah kemarahan peminat bola sepak di Korea Selatan ke atas Cristiano Ronaldo masih belum reda. Seorang daripada mereka telah terbang dari Seoul ke Sweden demi untuk bersemuka dengan Ronaldo dan mahukan penjelasan.
Kwak Ji Hyuk berkongsi perjalanan beliau di YouTube dan ditonton lebih 3 juta orang.
Ji Hyuk hanya mahu bertanya sendiri dengan kapten Portugal itu. “Cristiano Ronaldo, kenapa kamu tidak bermain tempoh hari?”
Ronaldo tidak beraksi ketika aksi pra-musim di Korea Selatan. Dan ianya dikatakan melanggar kontrak yang dijanjikan dengan para peminat.
Kwak Ji Hyuk pergi ke hotel penginapan Cristiano Ronaldo di Stockholm. Ketika Ronaldo keluar ke bahagian lobi, Kwak Ji Hyuk terus menjerit dalam bahasa Inggeris: “Kenapa kamu tidak bermain ketika di Korea [Selatan]?”
Namun pertanyaan itu tidak dilayan oleh Ronaldo.
https://youtu.be/Zrc8xaKrjxk
Kwak menyatakan beliau merupakan peminat fanatik Cristiano Ronaldo dan sudah mencuba beberapa kali untuk menarik perhatian Ronaldo termasuk mengangkat plakad dengan perkataan Portugis.
“Walaupun saya meletakkan plakad itu betul-betul di hadapan matanya, dia tetap tidak mengendahkannya,” jelas Kwak dalam videonya.
Dalam nada yang agak kecewa, Kwak berkata: “Kamu sangat baik dengan peminat kamu di sini, kenapa kamu tidak melayan kami [di Korea Selatan] sebegitu?”
Kwak Ji Hyuk sudah bertekad akan terus mendapatkan jawapan daripada mulut Ronaldo sendiri. Beliau akan terbang ke Itali selepas ini untuk bersemuka dengan idolanya itu.