Lelaki Ini Kritik MFL Dan Ada Teori Mengapa TMJ Suka ‘Usik’ Selangor FC

Landskap bola sepak tanah air tidak pernah sunyi dari kontroversi. Adakalanya ia ibarat sinetron atau drama bersiri-siri. Selepas satu isu, satu lagi isu timbul.

Hakikatnya liga kita tidak segah mana. Berapa ramai pemain berkelas dunia mampu kita hasilkan? Sejauh mana liga kita berjaya melahirkan pemain kompetitif yang berjaya mengharumkan nama negara? Tapi fakta ini tidak pernah menyebabkan Liga Malaysia sunyi.

Tetap, saban minggu atau bulan ia dihiasi dengan isu-isu tertentu – malangnya isu yang tidak membangun bola sepak kita.

Seraya itu, seorang peminat dan penyokong bola sepak tanah air, dikenali sebagai Jali Pok Yah meluahkan kekecewaan beliau di Facebook baru-baru ini. Ayuh kita soroti bersama apa yang cuba disampaikan.

Liga kita tak best mana

Korang tau kenapa aku sebut macam ni. Sebab banyak perkara. Aku dulu percaya liga kita leh bawak duit masuk. Maksudnya berjaya la. Jadi kuat secara financial nya, kuat dari stail pengurusannya dan gah dari sudut prestijnya. Tapi aku silap. Dengan apa yang berlaku sekarang, liga kita takkan naik ke tahap yang lebih baik pun.

Tadi, aku tertengok satu gambar yang tular. Tak tahu la zaman bila. Pengurusan bola sepak jenis double standard. Selepas kita disajikan contoh liga yang hebat di luar negara, ternyata liga dalam negara jauh buruk rupanya.

Yelah. Bila pengelola liga kata fan masuk stadium takleh makan. Tapi segala VIP, mak nenek pengurusan kelab boleh selamba badak makan bermeja bulat bagai. Ditatang sebegitu rupa. Dalam hati pengurusan, sunguh-sungguh minta fan datanglah stadium. Bayarlah tiket. Beli lah tiket bermusim. Tapi kepala kelab? Nah…. Sakit hati bila kita tengok benda ni berlaku.

MFL pula tak konsisten. Dan kelihatan “pengecut” atau terus buat keputusan pelik-pelik. Dia buat SOP, dia bagi kecuali kepada pihak-pihak tertentu. MFL pejam celik pejam celik. Tang tu jelah apa yang kita dapat.

Penat dah penulis sukan di media tak rasmi, atau rasmi atau persendirian buat kajian di liga luar tentang apa penambahbaikan yang boleh diterap masuk ke dalam liga sendiri. Tak bosan kita baca. Tapi, last-last, keputusan syok sendiri, masuk air dan buat ala-ala kampung jugak dipilih MFL. Alasan dah get ready dah. Kita terima je lah akhirnya. Penat woo fan nak bagi pandangan lagi dah.

Dulu-dulu, masa MFL baru nak diperkenalkan. Kita disajikan dengan macam-macam cerita best dan penuh dengan harapan. Visit J-League lah, kiblatkan La Liga lah, lantik konsultan lah, last-last apa yang jadik?

Entahlah labu. Kalau ada yang kata kita ada peningkatan kualiti liga dalam 3 tahun terakhir ni, sila komen apa yang bertambah baiknya? Dapat slot Champions League tidak membuatkan semua kelab automatik jadi pandai urus kelab.

JDT dan Selangor

Kita beralih cerita pasal JDT vs Selangor pulak. Kontroversi yang tak habis-habis. JDT harap Selangor jadi rival kuat JDT, tapi last-last JDT yang ‘seakan-akan’ merayu Selangor untuk jadi kuat.  Ni teori aku. Nak percaya, taknak percaya terpulang. Teori saja. Aku huraikan teori aku kat bawah.

Korang mesti perasan kenapa TMJ terlalu bercakap tentang Selangor. Suka hati TMJ je up story pasal kontrak, pasal fasiliti, pasal pemain dan apa saja yang Selangor lakukan. Rata-rata dekat social media, fan Selangor agak ‘terusik’ dengan hal ini.

Kalau korang follow trend JDT sejak 2013, TMJ suka mengalihkan isu dari diam senyap-senyap, tiba-tiba bising dan sebutan JDT tidak akan berhenti. Carian di sosial media, di website, dan di google akan memberikan trafik ke arah JDT atau TMJ itu sendiri. Ini strategi.

Korang benci atau suka, based on tim mana korang sokong. Semua tu akan berbalik kepada objektif TMJ untuk cuba ‘menghidup’kan suasana liga kita. Sudah pasti, kebaikannya akan terpalit kepada jenama JDT itu sendiri.

Ya, korang mesti menyampahkan apa yang aku tulis kat sini. Hakikatnya, benda ni sudah berlaku setiap tahun. Fans dan haters akan grow bersama-sama. Highlight macam ni la yang JDT mahukan.

Sebelum itu, suka untuk aku ulang skrip TMJ sebelum ini. Kelab/pasukan negeri kesukaan beliau tetap Selangor. Pelik kan? Dalam masa yang sama TMJ terus tempelak Selangor dan memaklumkan bahawa RMS tertipu dengan pengurusan Selangor hari ini. RMS tidak mengiyakan dan tidak menafikan.

Jadi, aku nak simpulkan di sini, JDT mahu “mencipta” rival sensasi mereka sendiri ala-ala El-Classico versi Malaysia. JDT ‘attack’ Selangor dah lama. Macam-macam fan page seperti Masyarakat Bola tu pun sentiasa memainkan peranannya.

Malang sekali dalam 2-3 tahun ini, Selangor kurang melatah dan seolah-olah “tidak mahu menyahut” seruan rival tersebut. Bahkan terus “hanyut” dengan sentimental lama dan kejuaraan berganda bersejarah mereka.

Tak, aku tak kutuk Selangor, tapi ye, Selangor kurang agresif. Tidak seperti yang diharapkan oleh JDT. Sebab tu lah JDT atau TMJ seakan-akan “merayu” agar Selangor respon seagresif yang mungkin dan mencipta hype tersendiri.

Kalau kelab lain dah takleh diselamatkan, at least ada dua gergasi dalam Malaysia yang boleh dijadikan bahan sensasi sekaligus boleh meningkatkan jenama liga kita. Tapi sekali lagi, ianya takkan berjaya. Sebab apa? Sebab yang aku huraikan di bawah ini pulak.

Budayakan bola sepak

Umum tahu, untuk selamatkan liga kita hanya perlu buat perkara asas ini saja. Dan perkara yang asas inilah yang sukar untuk Malaysia realisasikan. Nak tau apa yang asas tu?

Kelab mesti jadi kuat! Nak kelab jadi kuat, dia wajib ada formula berikut. Satu, kelab kena ada pengurusan yang tahu cari duit, buat duit dan gandakan duit. Pergi semak kelab anda. Boleh buat tak? kalau boleh buat, duk diam-diam sudah.

Kedua, kelab mesti ada fan yang fanatik, obses dan sanggup buat apa saja untuk kelab mereka. Korang sanggup beli jersi pasukan original tak? Sanggup away day untuk pasukan tak? Sanggup keluarkan duit anda untuk beli merchandise tak? Sanggup untuk invest dalam pasukan sendiri tak kalau ada peluang? Kalau tak sanggup, duduk diam-diam sudah.

Penyokong bola sepak Liga Malaysia.

Ketiga, kelab mesti ada liga yang dikelolakan oleh Pengelola Liga yang profesional, kuat kepimpinan, dan konsisten. Pengelola juga mesti tahu nak keluarkan kepompong kemiskinan liga kepada liga yang berjaya memberi pulangan berpendapatan tinggi kepada kelab-kelab bertanding.

Tapi MFL kita sekarang boleh diharapkan tak agak-agak? Aku tahu jawapan kita sama. So, kita layak bising dan persoalkan. Cuma kita kena sedar diri je lah. Takyah letak harapan tinggi pun pada liga kita selagi tiada yang betul-betul berupaya ubah landskap dia.

Penutup

Okey, itu saja perkara asas yang semua kena mainkan peranan. Oh ya, antara kelab dan diri kita pun tak sekuat mana. Macam mana lah kita nak kelab kita kuat kan? Pengelola liga pun dah macam kartun pagi-pagi je.

Mati, hidup lagi. Mati, hidup lagi. Macam tu je la. Jadi, tuan puan pencinta bola sepak kalian. Kalau betul liga ni Gred D, bagi aku bukan merujuk kepada liga itu sendiri atau tahap permainannya secara mutlak.

Sebab tak logik la gred D kalau juara liga kita masih diiktiraf untuk join Asian Champions League kan. Mungkin D tu ditujukan kepada Pengelola serta pengurusan kelab yang hampuras!

Bagi aku, untuk mereka-mereka ni semua, D pun tak layak. Bahkan F pun belum tentu layak. Terlalu hampeh!

 

 

Nota Editor: Artikel ini adalah hasil tulisan Jali Pok Yah di Facebook peribadinya, disunting dan disiarkan dengan kebenaran di platform Semuanya BOLA.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN