Pemain Manchester United, Jesse Lingard mempunyai pendapat beliau sendiri mengapa pasukannya mengalami masalah sering keciciran mata ketika beraksi dalam saingan liga.
Menurut laman The Star Online, Lingard mengatakan ianya berpunca kepada sikap mereka sendiri yang sering leka apabila menentang pasukan bawahan liga.
Kata Lingard, semuanya seakan tidak kena apabila mereka bermain menentang pasukan yang kurang terkenal tetapi apabila menentang pasukan utama, mereka mampu untuk bermain dengan baik.
“Ianya pelik, mungkin kerana faktor mentaliti. Ianya terjadi kerana kami fikir seolah kami telah menang apabila ke perlawanan sebegini (menentang pasukan kecil).”
“Jika kami dapat teruskan persembahan cemerlang kami ketika menentang Tottenham Hotspur dan Manchester City, kami mampu menang semua perlawanan.”
Situasi yang dikatakan oleh Lingard ini barangkali dipersetujui oleh penyokong Manchester United kerana keputusan perlawanan turut mengakuinya.
Musim ini, Manchester United mencatatkan beberapa keputusan baik menentang pasukan utama liga seperti kemenangan 4-0 menentang Chelsea pada hari pembukaan.
Terbaharu, mereka turut mencatat kemenangan berganda dengan menewaskan Tottenham Hotspur di laman sendiri sebelum menundukkan Manchester City di Etihad Stadium.
Akan tetapi keputusan menentang pasukan kerdil seperti Everton dan Watford tempoh hari merentap rekod baik mereka menentang pasukan utama liga.
“Kita perlukan mentaliti yang sama ketika kami menentang pasukan besar. Kami perlu lebih konsisten ketika melawan pasukan lebih kecil.”