Mesti ramai yang merasakan tajuk itu agak kelakar terutama sekali generasi baru peminat bola sepak. Bila masa pula Leicester boleh bermusuh dengan Atletico?
Sabar! Artikel ini akan menjelaskan kepada anda tentang kisah ini.
Baru-baru ini Diego Simeone menyatakan ada persamaan di antara Leicester dan Atletico ketika kelab Inggeris itu menjuarai EPL.
Itu yang berlaku ketika Atletico menjuarai La Liga. Nikmat kejuaraan Leicester jauh lebih tinggi berbanding dengan pasukan seperti Manchester United, Chelsea, City dan kelab-kelab besar lain.
Begitu juga Atletico ketika mereka juara La Liga 2013/14. Ia berbeza dengan Barcelona dan Real Madrid.
Suku Akhir UCL 2016/17
Borussia Dortmund, Monaco, Juventus, Barcelona, Bayern Munich dan Real Madrid. Berikut adalah rantaian pasukan yang akan berentap di peringkat suku akhir pertama, UEFA Champions League (UCL) 2016/17.
Tidak keterlaluan jika kita katakan UCL adalah kejohanan peringkat kelab yang paling berprestij di dunia. Selain nilai prestij, UCL turut menjanjikan hadiah paling mewah dalam arena bola sepak dunia.
Pasukan yang berjaya menjuarai UCL akan menerima hadiah kemenangan bernilai £57.2 juta tidak termasuk hak penyiaran televisyen yang dianggarkan bernilai hampir £50 juta.
Real Madrid menjana sejumlah £94 juta ketika menjuarai UCL musim lalu, manakala Atletico Madrid membawa pulang sejumlah £82 juta ketika muncul sebagai naib juara.
Lupakan perihal prestij. Lupakan juga hal hadiah kemenangan yang mengaburi mata dengan wang ringgit.
Bagi Leicester City, ada perkara yang lebih besar untuk mendorong mereka menewaskan Atletico Madrid dalam saingan suku akhir UCL 2016/17.
Atletico Madrid vs Leicester City
Lupakan Barcelona, Bayern Munich atau Real Madrid. Fokuskan perhatian dan set TV anda kepada perlawanan di antara Atletico Madrid dan Leicester City.
Untuk rekod, ini adalah pertembungan ketiga antara dua kelab Inggeris dan Sepanyol ini di pentas eropah.
Menariknya, dua dari tiga kemunculan Leicester City di kejohanan Eropah adalah dua puluh tahun yang lalu dan pada musim 2000-01 dan pada musim 1961-62.
Leicester City disingkirkan oleh Red Star Belgrade dalam saingan UEFA Cup pada musim 2000-01. Atletico Madrid pula menjadi duri dalam daging bagi “The Fox” dalam dua lagi saingan Eropah.
Apa kisah di sebaliknya?
Mari kita imbau kembali perlawanan-perlawanan tersebut dan fahami kenapa Leicester City punyai dendam belum terbalas terhadap Atletico Madrid.
European Cup Winner’s Cup (1961-62)
Pada musim 1960-61, Leicester melayakkan diri ke final Piala FA. Tewas dengan Totenham Hotspur di Wembley, skuad bimbingan Mat Gillies tetap layak ke eropah kerana Totenham Hotspur muncul juara Liga Inggeris pada musim itu.
Leicester City melayakkan diri atas tiket Piala FA.
Di pusingan kelayakkan eropah, Leicester City dipertemukan dengan wakil Ireland Utara, Glenavon. Pasukan “The Fox” yang memiliki penyerang berbisa Scotland, Jimmy Walsh mudah menewaskan lawan dengan agregat 7-2.
Pusingan pertama kejohanan, Atletico Madrid berkunjung ke Filbert Street. Perlawanan tamat dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Beberapa bekas pemain Leicester City dalam temuramah oleh The Guardian mengenang kembali perlawanan tersebut.
“Saya bermain di posisi sayap dan berjaya melepasi pemain pertahanan Atletico. Saya menghantar satu hantaran lintang ke arah gol Atletico dan Ken Keyworth menolak masuk bola untuk jaringan dihasilkan.”
“Satu perkara yang saya ingat ketika perlawanan itu adalah ruang yang saya miliki untuk mengeksplotasi Atletico Madrid. Malangnya saya tidak menggunakan peluang itu.”
“Atletico sedar akan kelemahan di pertahanan dan mengarahkan pemain sayap mereka untuk mengawal saya. Akhirnya, dua pemain Atletico mengawal saya dalam perlawanan tesebut.” Ujar Howard Riley.
Pemain pertahanan Leicester City, Richie Norman mengingatkan akan kemungkinan kesilapan pengadil yang mungkin memberi impak yang signifikan dalam perlawanan tersebut.
“Saya masih dapat bayangkan. Penyerang kita, Ken Keyworth melepasi pertahanan lawan dan terus meluru ke arah gol.”
“Keyworth berjaya menghasilkan satu bola lob melepasi penjaga gol lawan, tetapi pada masa yang sama, Keyworth diterjah keras oleh pertahanan Atletico.”
“Pengadil meniup wisel bukan untuk membenarkan gol berkenaan, tetapi untuk menghentikan perlawanan dan menganugerahkan sepakan percuma di luar kotak penalti kepada Leicester City.”
Insiden itu mengundang rasa tidak puas hati menyelubungi Filbert Street. Atletico menang mudah dengan jaringan 2-0 di Madrid dan muncul juara European Cup Winner’s Cup pada musim itu.
UEFA Cup (1996-97)
Leicester muncul juara Carling Cup (dikenali sebagai EFL Cup pada hari ini) musim sebelumnya dan melayakkan diri ke UEFA Cup. Di pusingan kedua, Atletico Madrid sekali lagi menunggu.
Skuad Leicester pada masa itu dibarisi pemain seperti Emile Heskey, Neil Lennon, Muzzy Izzet, Tony Cotee, Robbie Savage dan Kasey Keller sebagai penjaga gol.
Perlawanan pertama, Leicester City ditundukkan di Madrid dengan jaringan 2-1. Bagaimanapun Martin O’Neill dan anak buahnya yakin mereka boleh mengubah kedudukan di tempat sendiri.
Di Filbert Street, pelan taktikal O’Neill menjadi. Separuh masa pertama, The Fox mengawal permainan namun sukar untuk mendapatkan sepakan ke arah gol.
Separuh masa kedua, Ian Marshall, penjaring gol ketika tewas 2-1 di Madrid hampir mendapatkan gol pertama The Fox. Keyakinan Leicester untuk menang semakin menebal apabila Juanma López dilayangkan kad kuning kedua perlawanan.
Atletico Madrid bermain dengan 10 pemain. Leicester perlu menang sekurang-kurangnya 1-0 untuk mara ke pusingan seterusnya.
Episod seterusnya, Leicester City diberikan sepakan percuma, 25 meter dari gol Atletico Madrid selepas Muzzy Izzet dikasari.
Sedang pengadil sedang sibuk mengarahkan benteng Atletico untuk berada 10 kaki ke belakang, Garry Parker pantas mengambil sepakan percuma tersebut menewaskan penjaga gol Atletico Madrid.
Pengadil Remi Harrel lantas melayangkan kad kuning buat Parker yang juga merupakan kad kuning kedua beliau dalam perlawanan itu. Kini kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain.
Perlawanan berlangsung semakin tegang selepas itu. Muzzy Izzet dinafikan penalti sebanyak tiga kali selepas dikasari oleh pertahanan lawan dalam kotak penalti.
Seperti menabur garam kepada luka Leicester City, Juninho dan Kiko masing-masing menjaringkan gol dalam 20 minit terakhir perlawanan untuk Atletico Madrid mara dengan agregat 4-1.
Martin O’Neill dan keseluruhan Filbert Street merasakan perlawanan pada malam itu dicemari konspirasi oleh pengadil Perancis, Remi Harrel.
Walaupun menafikan tuduhan menuduh UEFA bersubahat dalam perlawanan tersebut, O’Neill mengambarkan perlawanan pada malam itu sebagai “mustahil untuk dimenangi” dan “perlawanan yang semestinya akan mendukacitakan”.
Remi Harrel digantung oleh UEFA selepas perlawanan kontroversi itu.
Previu UCL: Atletico Madrid vs Leicester City
Jika pengalaman perjalanan dalam kejohanan ini diambil kira, Atletico Madrid adalah pilihan. Finalis UCL musim lalu itu punyai pemain yag lebih dominan dan berpengalaman di setiap posisi khususnya dalam kejohanan ini.
Antoine Griezmann dan Fernando Torres akan menegutai bahagian serangan. Gabi dan Koke seperti kebiasaan akan menggerakkan bahagian tengah Atletico Madrid. Pertahanan kental Urugay, Diego Godin akan mengetuai barisan pertahanan kelab Madrid ini.
Tiada lagi Filbert Street. Stadium Kingsway sudah menjadi saksi kehebatan Leicester City musim lalu.
Leicester City sudah melakukan magis untuk mara sejauh ini. Apatah lagi ia adalah kemunculan sulung mereka dalam UCL.
Jamie Vardy kemungkinan akan digandingkan dengan Islam Slimani. Kepantasan Riyad Mahrez dan Marc Albrighton di sayap pasti ditagih. Robert Huth akan mengetuai bahagian pertahanan Leicester City.
Kapten,Wes Morgan belum tentu akan diturunkan ekoran kecederaan belakang yang dialaminya.
Dua kali membawa Atletico Madrid sebagai finalis UCL, membuktikan Diego Simone bukanlah calang-calang pengendali. Karier Craig Shakespeare di bidang pengurusan pula lebih kepada pembantu pengurus di Leicester dan Hull City sebelumnya.
Tetapi siapa tahu. Bak kata sasterawan hebat Inggeris William Shakespeare:
“Be not afraid of greatness: some are born great, some achieve greatness, and some have greatness thrust upon them.”
Mungkinkah kita melihat satu lagi Shakespeare mencipta magis luar biasa?
Baca juga: Dani Alves Tidak Menyesal Tinggalkan Barca Kerana Sudah Bosan Dengan Pengurusan