Sejarah Bola Rasmi Liga Perdana Inggeris (Dan Gol Cantik Yang Dihasilkan)

Sejak Charles Goodyear (ya, pengasas bisnes tayar Goodyear) mencipta bola yang cukup bagus untuk manusia bermain bola sepak, kita sudah menyaksikan pelbagai jenis bola digunakan dalam Liga Perdana Inggeris.

Dalam artikel ini kita akan menyorot sejarah bola rasmi yang digunakan di Liga Perdana Inggeris. Kita juga akan mengimbas detik-detik menarik sepanjang penggunaan bola-bola rasmi ini.

1. Mitre Promax (1993-1995)

Mitre-promax-lge

Sebelum Liga Perdana Inggeris diperkenalkan buat julung kalinya pada 1993, England FA sudah lama menggunakan bola jenama Mitre sebagai bola rasmi perlawanan Liga Divisyen Satu dan Piala FA.

Apabila Liga Divisyen Satu ditukar kepada Liga Perdana Inggeris, England FA dan Mitre meneruskan kerjasama mereka. Hasilnya, Mitre memperkenalkan Mitre ProMax.

Detik menarik: Dengan menggunakan bola ini, Eric Cantona (Leeds United) menjaringkan hatrik pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris ketika Leeds menang 5-0 menentang Tottenham Hotspur.

2. Mitre Ultimax (1995-2000)

Selepas Mitre Promax, giliran Mitre Ultimax pula diperkenalkan. Ia digunakan di liga selama setengah dekad sehingga tahun 2000.

Detik menarik: Dengan bola ini, Paolo Di Canio melakukan volley (ketika bola masih berada di udara dan tanpa menahan bola!) ketika menentang Wimbledon. Paolo di Canio mengaku itu adalah gol tercantik yang pernah beliau jaringkan dalam kariernya.

3. Bola penaja pasukan tuan rumah (1995-2000)

article-0-13E4D5D5000005DC-358_634x427

Untuk beberapa tempoh di lewat 90-an, beberapa kelab mengambil keputusan menggunakan bola yang berjenama sama seperti jersi yang dipakai. Contohnya, perlawanan di Stamford Bridge akan menggunakan bola Umbro kerana penaja rasmi Chelsea ketika itu adalah Umbro.

4. Nike Geo Merlin (2000-2002)

Geomerlin

Pada tahun 2000, khidmat bekalan bola Mitre diberhentikan. Untuk berlaku adil (kerana ada dakwaan yang pasukan bawahan liga menggunakan bola ringan untuk memberi kelebihan kepada strategi route-one football mereka), England FA telah memutuskan hanya satu jenama sahaja akan digunakan untuk Liga Perdana Inggeris.

Untuk menggantikan kontrak Mitre yang sudah tamat, England FA menandatangani kontrak perjanjian dengan Nike sebagai pembekal bola rasmi. Bola rasmi pertama yang diperkenalkan Nike adalah Nike Geo Merlin.

Detik menarik: Dengan Nike Geo Merlin, Ledley King (Tottenham Hotspurs) mencatatkan rekod menjaringkan gol terpantas dalam liga iaitu 9.7 saat. Dalam perlawanan ini, beliau beraksi sebagai penyerang ‘bidan terjun’. Tetapi Spurs yang mendahului Bradford City 3-1 pada satu ketika, mensia-siakan kelebihan 2 gol apabila seri 3-3 di akhir perlawanan.

5. Nike Geo Merlin II (2002-2004)

Geomerlin2

 

Dengan Geo Merlin, sebanyak 2012 gol berjaya dijaringkan pada musim 2002/03 dan 2003/04 sepanjang ia digunakan. Nike memperkemaskan lagi model Nike Geo Merlin dengan menghasilkan bola yang paling pantas dan berketepatan tinggi. Ianya dinamakan Nike Geo Merlin II.

Diperbuat daripada bahan getah sintetik yang ringan, Geo Merlin II juga menampilkan rekaan grafik yang baru.

Detik menarik: Wayne Rooney (Everton) baru berumur 16 tahun ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Arsenal yang tidak pernah kalah dalam 30 perlawanan.

Bagaimanapun dengan kepantasan baru Geo Merlin II, volley Wayne Rooney (Everton) nyata terlalu mustahil untuk diselamatkan David Seaman. Rekod tanpa kalah Arsenal pecah dan begitu juga dengan rekod jaringan oleh pemain paling muda yang dipegang oleh Michael Owen ketika itu.

6. Nike Total 90 Aerow (2004-2005)

totalaerow0405

​Pada tahun 2004, Nike memperkenalkan Total 90 Aerow. Dengan menggunakan 6 lapisan unik pada permukaan bola, Total 90 Aerow direka bagi mencapai standard baru dalam aspek kelajuan, ketepatan dan konsistensi lambungan di udara.

Selain itu, lapisan getah turut digabungkan bersama lapisan foam bagi menghasilkan ‘kesan trampolin’ pada bola tersebut.

Detik menarik: Sepanjang musim Total 90 Aerow ini  digunakan, Chelsea menjulang kejuaraan liga perdana buat kali pertama dibawah kendalian Jose Mourinho.

James Vaughan (Everton) turut mencatat sejarah selaku penjaring termuda liga perdana pada usia 16 tahun (menentang Crystal Palace) untuk memecahkan rekod Wayne Rooney.

7. Nike Total 90 Aerow (2005-2006)

totalaerow0506
Masih lagi model yang sama, cuma kali ini Nike menambah kebolehnampakan (visibility) pada bola ini. Ia dihasilkan dalam dua variasi warna (kuning biru dan putih biru).

Ianya bertujuan untuk membantu pemain mengesan bola dengan lebih jelas terutama dalam situasi bola melambung tinggi dan berlatar belakangkan penonton.

Detik menarik: Dengan ciri ‘Hi-Vi’ (High Visibility), ia merupakan bola yang dijaringkan Alan Shearer (Newcastle) untuk melangkapkan gol ke 260 yang juga gol terakhir buatnya dalam kancah liga perdana.

Sepanjang 2 musim Total 90 Aerow digunakan, Chelsea meraih 2 gelaran juara liga dan Thierry Henry (Arsenal) menggondol 2 trofi kasut emas.

8. Nike Total 90 Aerow II (2006-2007)

totalaerow0607

Sepanjang penggunaan generasi kedua Total Aerow II ini, Liga Perdana Inggeris mencatat rekod jaringan paling rendah semusim iaitu hanya sebanyak 931 gol.

Nike melakukan perubahan kecil pada Total 90 Aerow II iaitu menggantikan warna pada corak ‘cincin’ bola tersebut dari biru ke merah.

Detik menarik: Moritz Volz (Fulham) menjaringkan gol ke-15,000 ketika menentang Chelsea pada 26 Disember 2006. Teddy Sheringham (West Ham) pula mencatat rekod selaku penjaring gol tertua dalam Liga Perdana Inggeris pada usia 40 tahun 268 hari.

Bola ini juga digunakan ketika Robin van Persie (Arsenal) melakukan first time volley daripada hantaran lintang Emmanuel Eboue ketika menentang Charlton Athletic.

9. Nike Total 90 Aerow II (2007-2008)

totalaerow0708

Selepas rekod jaringan liga yang paling rendah, Nike kembali meletakkan warna biru pada Total Aerow II pada musim 2007-2008.

Detik menarik: Cristiano Ronaldo pasti menggemari bola ini. Pada musim 2007-2008, beliau meledak 31 gol untuk Manchester United. Musim itu juga menyaksikan rekod jaringan terbesar liga tercipta ketika Portsmouth menewaskan Reading 7-4.

Emmanuel Adebayor (Arsenal) pula mencipta nama apabila menjadi pemain pertama mencetak hat-trik menentang lawan yang sama dalam satu musim. Beliau menjaringkan hatrik ketika Arsenal menewaskan Derby County 5-0 di laman sendiri dan 6-2 di tempat lawan.

10. Nike Total 90 Omni (2008-2009)

totalomni
Setelah 4 musim, akhirnya Total 90 Aerow ‘bersara’. Nike memperkenalkan pula Nike Total 90 Omni untuk menggantikan Total 90 Aerow.

Dengan idea grafik yang segar serta penggunaan warna yang lebih kontras, Nike Total 90 Omni mempunyai ciri penyebaran tekanan lebih menyeluruh dan seimbang untuk rembatan yang lebih konsisten, tepat dan kuat. Sasaran Nike untuk menyaksikan lebih banyak gol dihasilkan menerusi Total 90 Omni ini meleset apabila hanya 942 gol dijaringkan pada musim itu.

Detik menarik: Edwin Van Der Sar (Manchester United) mencatat 14 clean sheet berturut-turut. Tetapi Fernando Torres (Liverpool) menjaringkan gol cantik ini dengan Total 90 Omni.

https://www.youtube.com/watch?v=kzG5dWIMckI

11. Nike Total 90 Ascente (2009-2010)

ascente

Musim 2009-2010 menjadi milik Nike Total 90 Ascente, dengan teknologi baru diperkenalkan dan kajian menunjukkan bola ini berupaya mencapai kelajuan 2.4% lebih laju dan 0.5m lebih jauh berbanding bola sebelum ini.

Pembalut sintetik pada bola tersebut mempunyai permukaan seakan bola golf (berlekuk kecil). Ini membolehkan pemain mengawal pergerakan dan lambungan bola scara total.

Detik menarik: Chelsea mencatat rekod jaringan terbanyak semusim dengan 108 gol, sekaligus merangkul kejuaraan liga dan Piala FA. Didier Drogba (Chelsea) memenangi anugerah Kasut Emas buat kali kedua setelah meledak 29 gol dari 32 penampilan.

Dengan bola ini juga Maynor Figueroa menjaringkan gol ini dari garisan tengah padang:

12. Nike Total 90 Tracer (2010-2011)

tracer

Ekoran kritikan dari pemain dan penjaga gol terhadap bola Adidas Jabulani (Piala Dunia Afrika Selatan 2010) yang didakwa terlalu ringan dan arah lambungannya sentiasa berubah, Nike mengambil kritikan kepada pesaingnya untuk menghasilkan bola yang sempurna.

Hasilnya adalah Total 90 Tracer. Walaupun menerapkan sains yang sama seperti Total 90 Ascente, Tracer tampil dengan reka grafik lebih ringkas tapi unik dan mudah dikesan.

Detik menarik: Gol terbaik pernah dihasilkan menerusi Tracer? Sudah tentulah bicycle kick Rooney semasa Manchester United menewaskan City 2-1.

Baca juga: Analisis Taktikal: Barcelona 3-0 Bayern Munich

13. Nike Seitiro (2011-2012)

seitiro

Seitiro merupakan bola Nike pertama tidak membawa nama ‘T-90’ yang biasanya digunakan sejak 2003.

Seitiro juga menjadi bola pertama yang dihasilkan dengan teknologi RaDar (Rapid Decisive and Response). Tampil dengan grafik yang menawan, ia direka bagi menimbulkan kesan ‘tanda visual’ semasa bola tersebut berputar diudara mahupun atas permukaan padang.

Detik menarik: Sedekad selepas Les Ferdinand mencatat nama selaku penjaring gol ke 15,000 liga, Marc Albrighton (Aston Villa) pula mencuri tumpuan dengan menjaringkan gol ke 20,000 liga pada ketika Aston Villa mengikat Arsenal 1-1.

Seitiro turut menjadi bola yang menabalkan Manchester City sebagai juara liga buat kali pertama selepas Sergio Aguero menjaringkan gol kemenangan dalam kemenangan 3-2 ke atas QPR.

Peter Crouch juga menghasilkan gol cantik dengan bola ini:

14. Nike Maxim (2012-2013)

maxim

Maxim menjadi bola Nike ke-4 berturut turut yang telah mencecah angka 1000 jumlah jaringan.

Masih mengekalkan teknologi RaDar, Maxim mempunyai satu lagi ciri menarik iaitu 360′ Sweet Spot. Ia merupakan istilah utk menggambarkan permukaan bola yang mempunyai titik yang sangat efektif apabila bila ia dipukul/dirembat.

Detik menarik: Hasilnya, Tim Howard (Everton) menjadi penjaga gol ke 4 menjaringkan gol dalam liga perdana inggeris selepas Peter Schmeichel, Paul Robinson dan Brad Freidel. Dia membuka jaringan dengan sepakan gol dari jarak 102 ela melepasi penjaga gol Adam Bogdan dalam pertemuan Everton menentang Bolton (4 Januari 2012).

Bola ini juga digunakan ketika jaringan cantik Robin van Persie (Manchester United) ketika menentang Aston Villa:

https://www.youtube.com/watch?v=4DjLzd0vQ8o

15. Nike Incyte (2013-2014)

incyte

Nike Incyte menampilkan binaan 5 lapisan serta lapisan berelastik tinggi untuk sentuhan lebih baik, rembatan yang padu dan tepat. Teknologi RaDar kembali untuk musim ke tiga bagi memaksimumkan darjah penglihatan bola tersebut sekaligus memudahkan pemain mengesan ia lebih awal dan bertindak pantas.

Detik menarik: Dengan bola ini, sekali lagi jumlah gol keseluruhan liga mencecah lebih 1000 gol.

Siapa boleh lupa gol tiki taka Arsenal yang dijaringkan oleh Jack Wilshere (Arsenal) dalam perlawanan menentang Norwich?

16. Nike Ordem (2014-2015)

ordem
Pada lewat Disember 2013, Nike telah memperkenalkan bola baru yang bakal beraksi di pentas La Liga dan Seria A selain Liga Perdana Inggeris sendiri iaitu Nike Ordem.

Bola yang paling inovatif, berteknologi tinggi dan di’tune’ secara aerodinamik pernah dihasilkan masa kini. Ia menampilkan ciptaan aerodinamik terbaru Nike, lurah Aerow TRAC. Direka bagi konsistensi lambungan menerusi angin yang melalui lurah-lurah tersebut.

Tidak ketinggalan juga ciri RaDar yang dijangka akan terus ditampilkan pada bola Nike yang akan datang. Inilah iklan Nike Ordem yang dibintangi Wayne Rooney dan pemain golf nombor satu dunia, Rory Mcllroy serta penampilan istimewa lagenda Brazil, Ronaldo.

https://www.youtube.com/watch?v=Fh6ZDBcWtSk

17. Nike Ordem (2015-2016)

Nike-15-16-Premier-League-Ball

Sejak Mac lepas khabar angin dari beberapa laman web bolasepak Eropah mengatakan Ordem adalah bola rasmi yang bakal digunakan bagi kempen liga 2015-2016.

Grafik yang ditampilkan sememangnya berbeza pada kali ini dengan warna merah putih serta lambang ‘swoosh’ berwarna Volt. Bercirikan hampir serupa dengan Ordem 14-15, bola ini dikhabarkan bakal berada dipasaran pada Julai tahun ini.

Baca juga: 10 Cara Meraikan Gol Yang Membuatkan Anda Tertanya: Berbaloikah?

Sumber: Footyheadlines, Soccerbible

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN