Pendatang baharu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United bakal mengukuhkan jentera pertahanan kelab tersebut apabila semakin hampir untuk membawa masuk pemain Real Sociedad, Diego Llorente.
Selepas mengharungi dua perlawanan liga, kelemahan di barisan pertahanan jelas kelihatan apabila Leeds United telah dibolosi sebanyak tujuh gol susulan tunduk 3-4 di tangan Liverpool manakala menang 4-3 bertemu Fulham.
Sehubungan dengan itu, kehadiran Llorente yang pernah membuat lima penampilan bersama skuad kebangsaan Sepanyol pastinya amat ditagih Marcelo Bielsa dalam memantapkan posisi tersebut.
Pihak kedua-dua kelab telah mencapai persetujuan bersama untuk melengkapkan kehadiran pemain berusia 27 tahun itu ke Elland Road dan perpindahan tersebut dilaporkan bernilai €25 juta.
‘”Real Sociedad dan Leeds United telah mencapai persetujuan secara prinsipal untuk perpindahan melibatkan Diego Llorente ke kelab England itu.”
”Perjanjian terakhir tertakluk kepada pemeriksaan perubatan pemain tersebut,” menurut kenyataan yang dikeluarkan laman sesawang rasmi Real Sociedad.
”Real Sociedad ingin mengucapkan terima kasih kepada Diego di atas sikap profesional dan profesional yang ditunjukkan sepanjang tiga tahun bermain di sini, pada masa sama untuk mengharapkan yang terbaik buat masa depannya.”
Llorente merupakan pemain kedua dari Sepanyol yang direkrut oleh Bielsa bagi menghadapi kempen EPL 2020/21 selepas beliau turut membawa masuk Rodrigo Moreno dari Valencia pada Ogos lalu.
Leeds United akan berkunjung ke Bramall Lane pada hujung minggu ini untuk menghadapi cabaran Sheffield United bagi aksi ketiga saingan EPL musim ini.
Kredit featured image: Juan Manuel Serrano Arce/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Leeds United: