Tindakan kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Leeds United meletakkan imej wajah bekas pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda, Osama Bin Laden di tempat duduk stadiumnya telah mendapat pelbagai reaksi di media sosial.
Kebanyakan pihak ternyata tidak senang dengan perkara tersebut dan mempersoalkan kewajaran untuk membenarkan wajah seorang pengganas yang telah menyebabkan kematian ribuan nyawa berada di stadium berkenaan.
Ada juga yang menjadikan ia sebagai bahan jenaka dengan mengatakan tindakan itu bertujuan untuk ‘menakutkan’ pemain pasukan lawan yang akan bertandang ke Elland Road.
¡Insólito! Foto de Osama Bin Laden aparece en Estadio del Leeds United #FútbolInglés ► https://t.co/pvncc3y1vw pic.twitter.com/wpM4beVY5W
— El Popular (@elpopular_pe) June 25, 2020
Osama Bin Laden dipercayai bertanggungjawab dalam mengarahkan serangan ke atas bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York dan Pentagon di Washington DC pada 11 September 2001.
Beliau kemudian dilaporkan terkorban dalam satu serangan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan mayatnya kemudian dibuang ke dalam laut di lokasi yang dirahsiakan.
Awal bulan ini, Leeds mengatakan akan ada 15,000 ‘penonton’ ditempatkan di tempat duduk stadium untuk baki lima perlawanan di tempat sendiri.
Memandangkan penyokong setia The Whites tidak boleh hadir ke stadium, mereka dipelawa untuk menghantar gambar wajah masing-masing untuk diletakkan pada kadbod yang setiap satunya bernilai £25 (RM132).
Antara pasukan awal yang menggunakan kaedah tersebut adalah Borussia Monchengladbach dan Galatasaray. Manakala di Korea Selatan pula, FC Seoul menggunakan patung sebagai ‘penyokong’ tetapi telah didenda oleh K-League kerana menggunaan patung seks.
FC Seoul Mohon Maaf Guna 'Sex Doll' Sebagai Penyokong Di Stadium https://t.co/OVE7s1b3kQ pic.twitter.com/y9mZtQPfam
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 19, 2020
Bagaimanapun menurut laporan BBC, Leeds United dalam kenyataan terbaharu menjelaskan pihaknya telah pun membuang imej berkenaan dan memberi jaminan tiada lagi imej yang menyentuh sensitiviti diletakkan di stadium berkenaan pada masa akan datang.
Pasukan itu kini berada di kedudukan kedua liga selepas tewas kepada Cardiff City pada Sabtu lepas dan akan meneruskan misi untuk layak ke Liga Perdana Inggeris pada Sabtu ini berdepan pasukan di tangga ketiga, Fulham.
Kredit Foto: Instant Foot