Pemilik Leeds United, Andrea Radrizzani mengakui bahawa beliau berminat untuk membawa masuk penyerang berpengalaman, Edinson Cavani ke Elland Road dalam usahanya memperkuatkan jentera serangan The Whites bagi menghadapi kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.
Dengan kredibiliti selaku peledak berbisa yang telah dibuktikannya serta beliau juga bakal bergelar ejen bebas, khidmat Cavani pasti menjadi rebutan banyak kelab ternama di Eropah.
Keadaan itu membuatkan Radrizzani tertarik untuk merekrut penyerang berusia 33 tahun itu yang mana beliau telah menjaringkan 200 gol dalam 301 penampilan bersama Paris Saint-Germain (PSG).
”Selain daripada kualiti yang dimilikinya, Cavani mampu untuk menyumbangkan sesuatu dengan fizikalnya dan menyesuaikan diri di sini, tetapi saya masih belum pernah bercakap dengan pengurus kami mengenai perkara ini.”
”Setelah mengatakan perkara itu, kami sudah pasti memikirkannya dan kami akan melihatnya, memandangkan dia masih lagi ada dalam perpindahan percuma.”
Dalam perkembangan lain, Radrizzani menolak kemungkinan beliau akan sekali lagi berminat untuk mendapatkan khidmat seorang lagi penyerang berpengalaman, Zlatan Ibrahimovic ke pasukannya.
”[Membawa masuk] Ibrahimovic tentunya akan menjadi sukar. Kami cuba untuk menandatanganinya pada bulan Januari lalu tetapi dia memilih untuk menyertai Milan dan kesepakatan itu lenyap.”
”Sekarang saya merasakan sudah telalu lewat, intensiti bola sepak England telah berubah,” ujar Radrizzani menurut laporan Goal.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Edinson Cavani dikhabarkan menyimpan angan-angan untuk menyertai Atletico Madrid kerana tertarik untuk bekerja bersama pengurus pasukan, Diego Simeone.
Tetapi dengan kembalinya Leed ke saingan EPL serta dibimbing Marcelo Bielsa, mungkin Cavani ada pilihan lain untuk masa depannya selepas ini.
Kredit featured image: Jean Catuffe/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Leeds United: