Lee Tuck Semakin Dapat Rentak Bermain, Mahu Terus Julang Terengganu

Lee Tuck

Pemain tengah Terengganu, Lee Tuck mengakui semakin mendapat rentak yang diinginkan selepas bermula baik di pentas Piala Malaysia menerusi dua jaringan yang dilakukan sekali gus mahu terus membantu pasukan dalam baki empat perlawanan ini.

Tuck sebelum ini sukar mendapat tempat untuk diturunkan dalam saingan Liga Super susulan tahap kecergasannya yang kurang memuaskan selepas berdepan kecederaan yang berpanjangan.

Namun, sebaik sahaja Piala Malaysia bermula bulan lalu, kudrat pemain dari England ini kembali ditagih untuk bantu pasukan sekali gus berjaya meledak dua jaringan ketika menentang Kuching City dan Selangor.

Justeru, pemain yang dipinjamkan dari Sri Pahang ini berharap impak positif yang diberikan itu tidak terhenti sampai di situ sahaja sebaliknya mahu terus diberi kepercayaan untuk memburu kemenangan berterusan dalam aksi peringkat kumpulan ini.

“Satu perasaan yang melegakan apabila saya dapat bantu pasukan dengan jaringan yang dilakukan dan kami sekarang pun sedang berada di landasan yang baik untuk bersedia dalam aksi-aksi akan datang.”

“Saya tidak menafikan musim ini memang mencabar sebab selalu berdepan kecederaan-kecederaan kecil yang berpanjangan dan ia sebenarnya tidaklah terlalu serius, cuma kena bekerja keras sikit untuk mendapatkan balik tahap kecergasan yang terbaik.”

“Jadi, sekarang saya sudah rasa bertenaga balik dan ia tepat pada masanya apabila saya dapat semula momentum itu dalam saingan Piala Malaysia di mana misi saya sekarang adalah untuk terus bantu pasukan menamatkan saingan di peringkat kumpulan di kedudukan terbaik sekali gus layak ke suku akhir,” katanya.

Menjelang pertembungan dengan Perak dalam aksi Kumpulan B pada malam ini, Tuck tidak akan sesekali memandang rendah terhadap kemampuan lawannya itu yang boleh mencipta kejutan walaupun mereka telah kehilangan beberapa tonggak utama sebelum ini.

Walaupun Terengganu dilihat pasukan pilihan, namun Perak juga semestinya tidak akan memberi laluan mudah apatah lagi selepas mereka masih belum meraih sebarang kemenangan dalam dua aksi terdahulu.

“Saya rasa perlawanan malam esok pastinya akan lebih sukar daripada apa yang kita fikirkan kerana Perak sekarang pastinya sudah mempunyai perancangan tertentu terutamanya selepas mereka berdepan musim yang mencabar dalam saingan liga.”

“Mereka juga ramai pemain-pemain muda yang hebat dan mesti mendahagakan kemenangan, jadi kita tidak boleh ambil mudah dengan kemampuan Perak dan penting untuk kami semua bersatu bagi memburu kemenangan ketiga malam esok [ini]”, tambahnya.

Empat perlawanan akan berlangsung pada malam ini di mana tiga lagi aksi membabitkan KL City menentang Sarawak United, Selangor berdepan Kuching City manakala Sri Pahang pula akan menerima kunjungan Penang.

Kredit: MFL

Leave a Reply