Lebih Baik Pilih Natxo Insa Berbanding Akram Mahinan? Mungkin Ini Penjelasan Terbaik

Natxo Insa Akram Mahinan Malaysia

Selepas artikel ‘Akram Mahinan Antara 5 Pemain Yang Boleh Dibawa Harimau Malaya Ke Piala AFF Suzuki‘ dikeluarkan, penyokong mula bersuara tentang Natxo Insa, lebih baik pemain itu berbanding Akram Mahinan.

Jadi, mengapa artikel tersebut memberi fokus kepada Akram Mahinan? Sedarkah penyokong bahawa artikel tersebut mengenai pemain yang berada dalam skuad eksperimental yang mungkin sesuai buat Tan Cheng Hoe bawa ke saingan Piala AFF Suzuki 2020? Memang diakui, Natxo Insa berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Namun, adakah Natxo Insa ada keinginan untuk bermain mewakili skuad kebangsaan? Hanya pemain tersebut memiliki jawapannya. Ini kerana, setakat ini, pemain kacukan Malaysia-Sepanyol itu hanya tampil sekali.

Dan adakah pemain itu berada dalam senarai untuk dipanggil? Itu hanya Cheng Hoe memiliki jawapannya.

Kira-kira tiga tahun lalu, pada usia 31 tahun, Natxo Insa akhirnya membuat debut bersama Harimau Malaya selepas penyokong begitu ternanti-nanti aksinya di pentas antarabangsa selepas hampir 10 bulan di Malaysia.

Malaysia merekodkan keputusan seri 2-2 menentang skuad lawan yang ketika itu berada di ranking ke-189 dunia, Mongolia. Beraksi selama 90 minit, itu adalah aksi pertama dan terakhirnya bersama skuad negara.

Mengapa sehingga kini, namanya sering tersisih? Adakah Cheng Hoe tidak berminat dengan prestasinya? Mustahil untuk kita menafikan yang pengendali berusia 53 tahun itu langsung tidak tertarik dengannya.

LabolaMalaya telah bertanyakan tentang perkara ini kepada Cheng Hoe sendiri dan jawapan yang diperolehi mungkin sedikit kurang memuaskan hati semua pihak. Ia menggambarkan mungkin ada isu yang menyelubungi pemilihan pemain itu. Ujarnya, “Maaf [enggan komen]. Sudah banyak yang saya jelaskan. Terima kasih.”

Namun, tak perlu kita panjangkan isu mengapa Natxo Insa tidak dipanggil atau mungkin menolak panggilan negara. Hanya Cheng Hoe dan Natxo Insa yang mengetahui lebih mendalam mengenai perkara ini.

Adakah Natxo Insa tidak layak? Beliau layak, namun majoriti penyokong memilih mempertikaikan pemilihan Akram Mahinan sambil tidak mengambil pusing situasi yang membelenggu pemilihan skuad kebangsaan.

Merekodkan 1535 minit permainan dengan 19 penampilan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super, beliau sedang berada di prestasi terbaik membantu mereka menjuarai liga buat kali kelapan berturut-turut.

Dengan kualiti permainan yang ada padanya, mana mungkin untuk sesiapa tidak mahu menagih kudratnya. Bekas pemain Levante yang beraksi di La Liga itu sebenarnya pemain penting JDT pada saingan musim 2021.

Selain daripada Natxo Insa, Cheng Hoe juga dilihat sudah mengetepikan Afiq Fazail, pemain tengah yang dibangunkan oleh pengendali JDT, Benjamin Mora dengan peranan yang lebih baik – box-to-box midfielder berbanding pemain tengah bertahan sahaja. Kedua-dua pemain ini sudah tiada dalam ‘buku’ Cheng Hoe?

Ketika di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 pada Jun lalu, jelas Cheng Hoe tidak membawa pemain tengah bertahan dan Malaysia bergantung harapan kepada pemain-pemain tengah yang bukan defensive minded.

Malaysia tumbang empat daripada lima perlawanan di Dubai, UAE dan mungkin atas dasar itu, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj diuji dalam trip ke Amman, Jordan kali ini. Sekali lagi, jangan ditanya mengapa tiada Natxo Insa kerana Cheng Hoe sudah memberikan jawapannya, iaitu beliau tidak mahu memberi sebarang komen.

Jadi, siapa lagi pilihan pemain tempatan yang bermain di posisi itu? Khairu Azrin yang kini bermain bersama Penang FC sudah terlepas dua aksi pertama Piala Malaysia, mungkin atas sebab kecederaan berlarutan. Amirul Hisyam di Kedah mungkin bukan pemain yang menepati perancangannya – mungkin sebab itu tidak dipanggil.

Ada juga pasukan yang bergantung kepada tenaga import di posisi tersebut musim ini, seperti Terengganu FC. Sebenarnya agak terhad pilihan pemain Malaysia yang boleh bermain di posisi tengah bertahan atau nombor 6 ini. Usah disebut lagi, lebih baik Natxo Insa main kerana Cheng Hoe sudah menjawab kepada cadangan itu.

Jika dilihat semula komen Cheng Hoe pada Ogos 2018 kepada New Straits Times mengenai pilihan pemainnya ketika itu, ini jawapannya. “Tidak semestinya pemain yang tinggi dan memiliki kekuatan fizikal akan menjadi pilihan skuad negara kerana adakalanya pemain sebegitu tidak sesuai dengan corak permainan kita,” ujarnya.

“Saya lebih percaya kepada pemain yang pernah kami bentuk bersama skuad kebangsaan sebelum ini kerana mereka mampu menyesuaikan diri dengan taktikal yang kita terapkan dan yang saya mahukan,” tegasnya lagi.

Jadi, usah lagi persoalkan pemilihan pemain lain untuk posisi itu kerana berdasarkan pilihan di ‘kolam’ Cheng Hoe, itulah pemain yang ada. Keengganan memberi komen terhadap Natxo Insa, menguji pemain lain serta memilih pemain yang mudah sesuaikan diri dengan Harimau Malaya adalah antara yang dapat disimpulkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN