Lebih Baik Daripada De Paula, ‘Teropong’ Sama Prestasi Darren Lok, Danial Asri & 3 Pemain Ini!

Danial Asri Harimau Malaya de Paula

Apa alasan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe jika mengetepikan antara nama penyerang-penyerang ini, iaitu Darren Lok, Hazwan Bakri dan Danial Asri bagi memberikan ruang lagi kepada Guilherme de Paula?

Rasanya sudah jelas, dalam tiga penampilannya bersama skuad kebangsaan setakat ini, de Paula telah gagal menghadirkan impak kepada jentera serangan. Dan satu-satunya gol yang dicetaknya adalah daripada sepakan penalti – yang diraikannya dengan larian deras umpama sudah berjaya meledak jaringan kemenangan.

Tempohari, Cheng Hoe juga dilihat memberi ruang kepada penyerang muda berbakat besar, Luqman Hakim Shamsudin sebagai penyerang. Mungkin beban ditanggungnya besar, Luqman Hakim juga ketandusan idea untuk meledak gol dan ia berterusan sehingga kini, apabila beliau tampil bersama skuad B-22 negara.

Luqman Hakim perlu terus diberikan pendedahan kerana beliau adalah penyerang harapan negara. Tetapi, siapa yang boleh diharapkan untuk menjadi pilihan utama dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020, Disember ini?

Kriteria penyerang yang diperlukan skuad negara ketika ini bukan sahaja boleh membantu memberi tekanan kepada benteng lawan, namun yang penting juga adalah naluri pembunuh untuk meledak gol penting.

Naluri pembunuh ini bukan boleh dilatih begitu sahaja tanpa sebarang pengalaman beraksi. Penyerang itu perlu cergas beraksi dan memiliki minit permainan untuk beliau tidak kehilangan sentuhan pemusnah tersebut.

Sebagaimana yang dilalui Syafiq Ahmad pada 2019, yang mana prestasinya di kelab, Johor Darul Ta’zim (JDT) menggambarkan prestasinya bersama skuad kebangsaan. Sangat tajam dan merbahaya buat benteng lawan.

Sejak kebelakangan ini, skuad kebangsaan amat dahagakan sentuhan penyerang sejati. Dalam saingan Piala Malaysia ketika ini, muncul beberapa nama yang mungkin boleh Cheng Hoe fikirkan untuk diberikan peluang. Berbanding de Paula yang kurang bermain, lebih baik bawa Danial Asri yang meledak dua gol di Piala Malaysia!

Darren Lok (PJ City FC)

Beliau tersisih daripada panggilan skuad kebangsaan disebabkan kecederaan serius yang menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang selepas tampil cemerlang dalam lima perlawanan awal liga dan meledak tiga gol.

Penyerang kacukan Malaysia-England itu kembali ke padang sekitar Ogos lalu dan kini telah menjaringkan tiga gol dalam tiga penampilan di saingan Piala Malaysia. Sudah empat tahun beliau tidak dipanggil ke tugasan skuad kebangsaan dan perpindahan ke PJ City memberi rahmat apabila mula mendapat minit permainan.

Beliau memiliki sembilan kaps antarabangsa dan meledak satu gol ketika tewas 1-2 kepada Syria dalam aksi persahabatan pada 2017. Dengan prestasi terkininya musim ini, adakah Cheng Hoe akan terlepas pandang?

Hazwan Bakri (JDT)

Baru-baru ini, pemain yang memiliki 30 kaps antarabangsa, Hazwan Bakri meledak gol pertamanya selepas tiga tahun, ketika JDT menang 2-0 ke atas Sabah FC. Kali terakhir beliau meledak gol adalah pada Ogos 2018.

Adakah beliau sudah kembali? Berdasarkan aksi dan prestasinya di dalam padang untuk dua perlawanan Piala Malaysia, amatlah wajar untuk memantau prestasinya jika beliau terus diberikan peluang untuk beraksi.

Bekas rakan sepasukan yang kini merupakan pengulas bola sepak, Shahrom Kalam, melabel Hazwan Bakri sebagai pemain yang liar di dalam padang. Katanya dalam ciapan di Twitter, “Tak cukup tanah Matt Hummels kejar Mbappe. Sama seperti kesemua CB Selangor tahun 2014/2015 mengejar Hazwan Bakri masa training.”

“Umpama kuda liar dapat jumpa tanah lapang,” ciapnya lanjut. Tidak mustahil, jika terus diberikan peluang, beliau akan kembali liar sebagaimana dahulu – ketika meledak hatrik dalam kaps pertama Harimau Malaya.

Safee Sali (KL City FC)

Berusia 37 tahun, beliau boleh dianggap pemain otai untuk Harimau Malaya, jika dipanggil. Namun, sejak akhir-akhir ini, Safee Sali mempamerkan prestasi memberangsangkan selepas pengendali KL City, Bojan Hodak berkata yang beliau tidak lagi mampu beraksi 90 minit, namun maksimum hanya 60 minit setiap aksi.

Ia seolah-olah membuktikan, walaupun aksinya terhad, namun beliau masih mampu memberi sumbangan.

Memiliki 76 kaps dengan 23 gol, Safee Sali secara berterus-terang berkata beliau masih mahu berbakti bersama skuad negara. Ketika ini, beliau membuktikannya di peringkat kelab dan adakah dalam senarai pertimbangan Cheng Hoe, nama Safee Sali turut tersenarai? Jika beliau masih mampu, tiada salahnya untuk bawanya!

S. Kumaahran (Melaka United)

Pemain serangan dalam sistem tiga penyerang di Melaka United ini mungkin bukanlah seorang penyerang utama. Namun, kemampuannya meledak gol harus diberikan perhatian oleh barisan kejurulatihan Malaysia.

Berusia 25 tahun dan membuat 15 penampilan dalam saingan Liga Super, Kumaahran telah meledak empat gol. Dengan Malaysia juga menggunakan sistem serangan yang sama – rangkaian tiga penyerang, mungkin beliau yang meledak gol pada aksi berdepan Kelantan United malam tadi, boleh berada dalam senarai pertimbangan.

Saat ini, pilihan untuk posisi tersebut seperti Safawi Rasid atau Mohamadou Sumareh dilihat kurang beraksi atau kurang berprestasi. Jadi, pemain yang memiliki empat kaps Harimau Malaya ini sewajarnya dipanggil.

Danial Asri (Selangor FC)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2020, Danial Asri dengan tujuh gol nampaknya sudah dua musim mempamerkan prestasi yang baik, tidak kira di Liga Premier mahupun di Liga Super. Di Liga Super musim ini, beliau yang bergandingan bersama Ifedayo Olusegun telah mencetak tiga gol dalam 679 minit permainannya.

Berusia 21 tahun dan beraksi baik, namanya wajar sudah berada dalam senarai panggilan, namun sehingga kini, beliau langsung tidak diberikan peluang dengan kenyataan, tiada penyerang beraksi baik dalam saingan liga.

Beliau membuktikan kemampuannya dengan sentuhan jaringan dan tentunya menuntut ilmu dengan penjaring terbanyak Liga Super dua musim berturut-turut, Ifedayo Olusegun memberikannya sesuatu yang berharga!

Leave a Reply