Arsenal bukan sahaja kecundang di laman sendiri bertemu Manchester United, awal pagi tadi malah terpaksa menelan kepahitan apabila dua tonggak pertahanan,Laurent Koscielny dan Sokratis Papastathopoulos mengalami kecederaan.
Keadaan yang cukup menggusarkan Unai Emery selepas beliau baru sahaja kehilangan Hector Bellerin akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada aksi menentang Chelsea tempoh hari.
Unai Emery ketika ditemubual wartawan, jelas kurang senang dengan malang menimpa pasukan bimbingannya.
”Saya gembira kerana saya merasakan hasil kerja kami adalah baik, tetapi keputusannya teruk.”
”Keputusan hari ini dan masalah kecederaan. Mereka tidak membantu kami pada perlawanan ini, mungkin kerana keputusannya adalah 1-2.”
”Pada ketika itu (kedudukan 1-2), kami berkemungkinan untuk meningkat dan menang, tetapi disebabkan kecederaan – terutamanya kecederaan dialami Koscielny – tidak membantu kami kerana rentak kami menurun.”
”Kami juga perlu menukar pemain berbeza untuk beraksi di posisi pertahanan tengah. Mereka (Manchester United) sangat klinikal pada hari ini dan ketika situasi kami menyerang, kami masuk ke kawasan penalti tetapi tidak berupaya untuk mencipta sentuhan terakhir bagi menjaringkan gol.”
”Kami berhak untuk mendapat lebih daripada ini tetapi kami menentang Manchester United yang berada pada prestasi terbaik musim ini, dan mereka mempunyai ramai pemain yang mampu membuat perbezaan.”
Kecederaan yang dialami Koscielny kelihatan lebih serius berbanding Papastathopoulos dan pemerhatian awal berkemungkinan beliau mengalami patah tulang rahang atau pipi.
Arsenal juga sebelum ini sudah kehilangan Rob Holding yang turut mengalami kecederaan lutut dan terpaksa berehat panjang.