Laurent Koscielny Dedah Mahu Perancis Kalah Semasa Piala Dunia 2018

Laurent Koscielny mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan Perancis selepas mengakui kejayaan Perancis dalam Piala Dunia 2018 tanpa beliau ‘merosakkan psikologi saya lebih daripada kecederaan saya sendiri’ dalam satu temuramah dengan media sukan Perancis, L’Equipe.

Selain itu, Koscielny turut mendedahkan kekecewaan beliau terhadap ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps yang didakwa ‘melupakan’ beliau selepas mendapat kecederaan achilles yang menyebabkan dirinya disisih daripada skuad Piala Dunia 2018 Perancis.

“Bila anda mencapai prestasi terbaik, semua orang nak berkawan dengan anda. Tetapi apabila anda tercedera, anda akan dilupakan,” luah Koscielny sambil menangis ketika temuramah dengan L’Equipe. Beliau turut menambah, “Beliau [Deschamps] hanya menghubungi saya sekali sahaja pada September lepas. Selepas itu, tiada apa-apa.”

Bercakap mengenai kecederaannya, pertahanan tengah Arsenal yang berusia 33 tahun itu turut mengaku mengharapkan Perancis kalah ketika Piala Dunia 2018.

MOSCOW, RUSSIA – JULY 15: The team of France celebrates with the World Cup trophy after the 2018 FIFA World Cup Final between France and Croatia at Luzhniki Stadium on July 15, 2018 in Moscow, Russia. (Photo by Matthias Hangst/Getty Images)

“Ia pelik. Saya mahu Perancis layak ke pusingan seterusnya, tetapi pada masa yang sama saya mahu mereka kalah,” dedah Koscielny secara jujur. “Kejayaan Perancis dalam Piala Dunia 2018 lebih menyedihkan saya daripada kecederaan saya sendiri.”

Koscielny turut memberitahu satu-satunya cara untuk beliau kembali menjadi penyokong Perancis yang sebenar adalah dengan bersara. Beliau yang pernah menyatakan niat untuk bersara dari skuad Perancis pada November 2017 lepas berkata, “Saya akan sentiasa menjadi penyokong Les Bleus kerana ia pasukan negara saya. Tetapi untuk berbuat demikian, saya perlu bersara.”

Situasi Koscielny ini adalah dilema falsafah yang klasik apabila seseorang manusia dihimpit kepentingan peribadi dan kepentingan bersama pada satu-satu masa. Kadang kala, kita mahu rakan-rakan kita berjaya – tetapi dengan syarat; kita juga mesti merasai nikmat yang sama.

Dengan Perancis yang sentiasa tidak pernah mengalami kemarau bakat-bakat baru, jika Koscielny tidak bersara, beliau berdepan dengan saingan daripada pemain-pemain muda bertaraf dunia seperti Raphael Varane, Samuel Umtiti dan Presnel Kimpembe.

Ini termasuk 16 lagi pertahanan tengah berbakat yang semuanya berusia bawah 25 tahun seperti Clément Lenglet (Barcelona), Aymeric Laporte (Manchester City) dan Abdou Diallo (Mainz 05).

Di Arsenal, Koscielny turut telah hilang tempat kesebelasan utamanya di belakang Sokratis Papasthapoulos, Shkodran Mustafi dan Rob Holding angkara kecederaan panjangnya. Meskipun telah sembuh baru-baru ini, beliau tetap perlu meyakinkan Unai Emery untuk mendapat tempat.

Koscielny mempunyai kontrak bersama Arsenal sehingga 2020.

Leave a Reply