Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) akan berkumpul semula pada Januari 2019 untuk sesi latihan pusat bagi menghadapi Kelayakan AFC B-23 yang dijadualkan berlangsung bulan Mac.
Menurut jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee beliau telah mengenalpasti beberapa pemain terbaik pada Piala Newspaper di Vietnam minggu lalu untuk dipanggil menyertai latihan pusat bersama pemain utama.
Malaysia meraih tempat ketiga pada kejohanan itu dan membawa beberapa muka baharu yang kurang berpengalaman di pentas antarabangsa.
“Ramai pemain yang saya bawa ke kejohanan itu pemain yang tidak pernah atau kurang pendedahan di peringkat antarabangsa. Memang dari segi keputusan ia kurang memberangsangkan, tapi saya berpuas hati kerana dapat menilai pemain yang boleh dipanggil selepas ini.
“Berdasarkan persembahan mereka, hanya lima hingga lapan pemain baru akan saya panggil semula bagi sesi latihan pusat bermula 9 atau 10 Januari depan selama lebih kurang dua minggu.
“Di situ saya akan panggil semua pemain termasuk Safawi Rasid, Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba dan Akhyar Rashid yang mewakili skuad senior di Piala AFF.
“Saya percaya dengan gabungan pemain muda berpengalaman dan pemain baru, kami mampu memberikan saingan hebat pada pusingan kelayakan Asia nanti,” katanya dalam Berita Harian.
Pada kejohanan Piala Newspaper, skuad muda negara mengalahkan wakil dari Korea Selatan, Gimhae FC 2-0 kemudian tewas 2-1 kepada Vietnam B-21 dan 0-3 kepada Myanmar B-21.
Pada pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 yang berlangsung di Kuala Lumpur tahun depan, Malaysia diundi bersama China, Laos dan Filipina dalam Kumpulan J bagi memburu slot ke pusingan akhir di Bangkok pada Januari 2020.
Kim Swee harap dapat memanggil semua pemain terbaiknya untuk melakukan persiapan rapi sebelum perlawanan sebenar bermula.
“Saya harap dapat memanggil semua pemain pada latihan pusat Januari ini kerana ia masa terbaik buat saya untuk mempersiapkan pasukan. Saya yakin tidak ada masalah untuk mengumpul semua pemain kerana ketika itu Liga Malaysia masih belum bermula,” katanya.