Pengendali skuad kebangsaan England, Gareth Southgate mahu anak buahnya memperbaiki segenap aspek yang diperlukan dengan mengekalkan intensiti tinggi menjelang pertemuan ketiga dan keempat saingan kelayakan Kejuaraan UEFA EURO 2020.
Berjaya mengemudi England layak ke separuh akhir Piala Dunia dan Nations League, Southgate kini berharap anak buahnya dapat merintis jalan ke saingan Kejuaraan Eropah tanpa sebarang masalah.
”Kami perlu terus meningkatkan tekanan. Kami tahu bahawa kami tidak akan mempunyai banyak pengalaman tekanan yang tinggi dalam tempoh lapan bulan berikutnya atau lebih, kecuali jika kami mula berdepan masalah dengan saingan kelayakan.”
”Jadi kami perlu membawa intensiti [tinggi] tersebut pada setiap sesi latihan. Kami telah memutuskan bahawa kami perlu lebih mencabar semua orang [pemain].”
”Para pemain memahami cabaran tersebut, mereka perlukan cabaran. Saya mesti tidak terlalu berlebihan dalam memberikan reaksi terhadap apa yang berlaku ketika bertemu Belanda [separuh akhir Nations League] – tetapi kami melakukan terlalu banyak kesilapan pada perlawanan yang besar.”
”Kami tahu kami akan memperbaikinya sekiranya kami bekerja dan mentaliti kami adalah betul. Anda perlu sentiasa memperbaiki dan mengubah corak yang berbeza,” ujar Southgate lagi.
England yang mengutip enam mata penuh dalam aksi kelayakan Kejuaraan UEFA EURO 2020 akan berdepan Bulgaria dan Kosovo di laman sendiri pada awal pagi nanti dan 11 September nanti.