Berdasarkan corak latihan berbeza yang diterapkan oleh pengendali baharu Harimau Malaya iaitu Kim Pan Gon, nyata siri perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung pada hari esok pastinya menjanjikan sesuatu yang berbeza buat para penyokong untuk tersenyum berbanding sebelum ini.
Mohd Safawi Rasid selaku salah seorang tonggak serangan utama skuad kebangsaan menyatakan mengenai corak latihan lebih berintensiti lebih tinggi yang diturunkan oleh Pan Gon buat mereka menjadikan banyak perubahan baharu lebih positif untuk para pemain lebih sistematik dan teratur dalam mencipta gerakan atas padang.
Menurut pemain sayap lincah Johor Darul Takzim (JDT) itu, selain menerapkan corak latihan yang bagus, barisan kejurulatihan juga nyata menekankan aspek keharmonian dalam pasukan agar segalanya lebih berjalan lancar dan mampu mengawal permainan dengan baik sewaktu perlawanan.
“Saya rasa latihan berintensiti tinggi baik untuk pasukan dan sudah pastinya perlawanan esok akan buatkan penyokong Malaysia gembira.
“Panggilan skuad kebangsaan kali ini sudah tentu mahu berikan yang terbaik dan tunjukkan kepada penyokong bola sepak peningkatan serta ada perubahan dalam skuad Harimau Malaya.
“Apa yang boleh saya katakan, setiap jurulatih akan melihat keupayaan dan kehebatan pemain pada sesi latihan. Oleh itu, latihan berintensiti tinggi untuk kami sememangnya bagus untuk meningkatkan lagi keupayaan masing-masing,” katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini menerusi Arena Metro.
Sebentar tadi, skuad kebangsaan sudah pun berlepas ke Singapura bagi mengharungi tiga aksi persahabatan di sana dan ini menjadi tugas pertama pengendali dari Korea Selatan itu dalam membentuk kembali Harimau Malaya supaya menjadi lebih mantap dan digeruni.
Menurut jadual perlawanan yang telah dikeluarkan, Malaysia bakal berdepan Filipina terlebih dahulu pada hari esok sebelum bakal membuat perhitungan bersama tuan rumah iaitu Singapura dengan menjadikan status Tier 1 bagi dua perlawanan tersebut.
Aksi terakhir skuad kebangsaan di sana ialah mereka bakal berdepan cabaran kelab tempatan iaitu Albirex Niigata pada 28 Mac sebelum pulang kembali ke tanah air.
Dalam masa sama, Safawi turut berkata tiada tekanan buat dirinya dalam bersaing merebut kesebelasan utama walaupun pengendali tersebut masih baharu dalam kem kebangsaan dan berjaya membawa suatu aura berbeza buat beliau dan rakan yang lain lebih positif kali ini untuk beraksi.
“Saya hanya mahu berikan yang terbaik untuk perlawanan esok dan harap mampu mencipta keputusan positif,” katanya.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!