Latihan Bola Sepak Dibenarkan, FAM Sambut Baik Keputusan Kerajaan

Bola Sepak

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menyambut baik pengumuman kerajaan apabila perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam yang telah memberi kebenaran untuk latihan persediaan pasukan termasuk bola sepak dijalankan semula dengan syarat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Kebenaran tersebut turut diperjelaskan lagi secara terperinci pada sidang media harian Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini dan sidang media khas Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican sebentar tadi iaitu aktiviti latihan bola sepak, sama ada secara profesional atau sosial telah diberi kebenaran untuk dijalankan semula mulai 15 Jun 2020.

FAM amat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang meluluskan kebenaran bagi aktiviti latihan bola sepak bermula semula mengikut syarat dan SOP, terutamanya kepada Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Sri Ismail Sabri dan Dato’ Sri Reezal Merican atas segala bantuan yang telah dihulurkan kepada FAM.

Sudah tentu, ini merupakan satu berita gembira kepada seluruh warga bola sepak di Malaysia yang sudah hampir tiga bulan terpaksa menghentikan segala aktiviti bola sepak di semua peringkat sejak saingan Liga Malaysia 2020 ditangguhkan berkuat kuasa 16 Mac 2020 dan diikuti dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bermula 18 Mac 2020.

Menurut kenyataan media dikeluarkan FAM sebentar tadi menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, berikut adalah beberapa perkara yang menjadi perhatian badan induk bola sepak tanah air itu:

Dengan kebenaran diberikan oleh kerajaan ini, FAM yang sudah pun mempunyai SOP bagi latihan pasukan-pasukan kebangsaan akan mengadakan perbincangan dalaman untuk penentuan langkah seterusnya bagi menggerakkan perancangan memanggil pemain-pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe bagi persiapan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadual pada Oktober dan November 2020 serta kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Ia akan disusuli dengan SOP bagi kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin (quarantine based approach centralized camp) yang akan dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat ini berpandukan SOP Sektor Sukan & Rekreaksi Fasa 2 yang dikeluarkan KBS, hari ini.

Berhubung aktiviti latihan bagi pasukan-pasukan yang beraksi dalam CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020, badan pengendali liga iaitu Malaysian Football League (MFL) akan mengeluarkan SOP kembali ke latihan dan juga akan menghubungi pasukan-pasukan berkenaan dalam masa terdekat ini bagi memberi penerangan terhadap SOP yang telah disediakan bagi memastikan perlaksanan sejajar dapat dipastikan.

Bagi akademi-akademi bola sepak khususnya yang terlibat dengan program pembangunan di peringkat akar umbi, SOP kembali ke latihan sudah disediakan oleh FAM dan akan dikongsikan kepada pihak yang berkenaan dalam tempoh terdekat ini selepas kandungannya diselaraskan dengan garis panduan baharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kelancaran operasinya apabila kebenaran diberikan kerajaan bermula 15 Jun 2020.

Bagi aktiviti bola sepak secara sosial dan riadah, FAM akan mengeluarkan satu garis panduan cadangan untuk diikuti oleh semua yang terlibat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan kita semua agar tidak terdedah kepada kemungkinan terjadinya penularan semula pandemik COVID-19 ini.

Untuk itu, FAM berharap agar kita semua yang terlibat dalam bola sepak ini dapat sama-sama mengekalkan disiplin diri masing-masing untuk mengikut segala SOP serta ketetapan yang telah dibuat agar kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan bola sepak di negara ini.

FAM juga akan sentiasa dari semasa ke semasa memberikan informasi terkini untuk makluman seluruh warga bola sepak supaya kita sama-sama dapat terus kekal sihat dan beraktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu bermula dari 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.

Kredit featured image: Malaysian Football League

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN