Henrik Larsson: Si Penyerang Tajam Buatan Sweden

Mungkin bagi sesetengah peminat bola sepak masa kini, apabila bercakap mengenai bola sepak Sweden pasti mereka akan menyebut nama Zlatan Ibrahimovic.

Namun, pada satu masa dahulu Sweden mempunyai seorang bintang bola sepak yang cukup gemilang namanya di bola sepak Eropah dan dunia – Henrik Larsson.

18 bulan

Larsson lahir dari pasangan Francisco Rocha dan Eva Larsson yang merupakan pasangan kekasih yang tidak pernah berkahwin. Mereka kemudiannya bercerai ketika usia Larsson 12 tahun.

Larsson kemudiannya memilih nama keluarga ibunya sebagai nama keluarganya kerana nama ‘Larsson’ lebih mudah diterima oleh orang-orang di Sweden.

Semuanya bermula apabila ayahnya mengajar Larsson untuk bermain bola sepak buat kali pertama. Namun, permulaannya tidak semudah yang disangkakan.

Hal ini kerana, Larsson sering mendapat cemuhan berbaur perkauman dari orang-orang sekeliling kerana warna kulitnya sedikit gelap.

“Saya sering dicemuh dengan perkara berbaur perkauman. Hal ini kerana kulit saya yang agak gelap, orang berkulit gelap ini bilangannya tidak banyak di Sweden.”

“Namun saya sering menonton bola sepak Inggeris di televisyen. Semuanya berubah selepas saya melihat dokumentari mengenai Pele. Sejak itu, saya terinspirasi daripadanya untuk menjadi pemain yang berjaya.”

Dari Sweden ke Belanda

Karier bola sepak Larsson bermula awal. Beliau mula bermain di liga-liga kecil seawal usia 6 tahun bersama pasukan Hogaborg secara amatur.

Larsson bergelar profesional seawal usia 17 tahun dan ketika itu beliau masih lagi merupakan seorang pelajar sekolah. Selepas tamat persekolahan, beliau terus bermain untuk Hogaborg sambil berkerja sebagai pembantu jualan buah-buahan untuk menyara hidup.

Larsson kemudiannya dirisik oleh kelab Helsingborg untuk bermain bola sepak profesional secara sepenuh masa.

Rekod beliau cukup cemerlang, penyerang tajam ini menghasilkan 34 gol dalam musim pertamanya sambil mencipta gandingan ampuh bersama pemain veteran Mats Magnusson. Hasil gandingan ampuh itu, Helsingborg memperoleh promosi ke liga teratas Sweden – Allsvenskan.

Larsson kemudiannya dibeli oleh Feyenoord pada tahun 1993. Namun boleh dikatakan masanya di Belanda merupakan zaman gelap bagi karier beliau.

Hal ini kerana beliau sering berasa kecewa dengan beberapa perkara, antaranya:

  • Jurulatih yang sering bertukar ganti
  • Beliau sering diletakkan di posisi yang salah
  • Polisi pusingan skuad yang memberi kesan kepada permainan beliau

Walaupun begitu, Larsson tetap berjaya menikmati kejayaan di Belanda apabila menjulang KNVB Cup pada 1997 selepas Feyenoord menewaskan N.E.C Breda di perlawanan akhir.

Larsson akhirnya meninggalkan kelab pada 1997. Namun begitu, tak mudah untuk Feyenoord untuk melepaskan beliau.

Hal ini kerana sebelum pergi, beliau bergaduh dengan pengurusnya Arie Hann mengenai kontraknya. Namun selepas itu, Celtic menyambar beliau dengan harga £650 ribu.

Pujaan hati Celtic

Larsson tiba di Scotland selepas dibawa masuk oleh Wim Jansen pada Julai 1997.

Karier Larsson di Scotland bermula hambar apabila beliau menjaringkan gol sendiri untuk Celtic dalam perlawanan Eropah menentang Tirol Innsbruck. Namun selepas itu beliau menjaringkan 18 gol untuk Celtic – rekod terbaik untuk Celtic pada musim tersebut.

Musim terbaik Larsson adalah ketika era pengurus Martin O’Neill. Gandingan beliau bersama Chris Sutton telah membuatkan beliau menjaringkan 35 gol dari 38 perlawanan.

Penyerang tajam beliau telah membuatkan beliau memenangi Anugerah Kasut Emas Eropah pada tahun 2001.

Larsson merupakan antara pemain yang digemari oleh ribuan penyokong Celtic. Buktinya beliau menjadi satu-satunya pemain bukan dari Scotland yang memasuki Celtic Greatest Team yang diundi oleh peminat Celtic pada 2002.

Legasi yang ditinggal Larsson untuk peminat Celtic terlalu banyak. Sepanjang 7 tahun di Scotland, beliau telah memenangi 4 gelaran liga, 2 Scottish Cup dan 2 Scottish League Cup.

Menjadi juara Eropah

Larsson tiba di Barcelona selepas kontrak beliau bersama Celtic tamat. Pada musim pertamanya beliau berjaya membantu Barcelona untuk menjuarai La Liga walaupun beliau dihimpit kecederaan serius.

Kemuncak karier Larsson adalah ketika perlawanan akhir UEFA Champions League 2006 menentang Arsenal. Beliau yang masuk sebagai pemain gantian berjaya memberikan 2 bantuan gol untuk membolehkan Barcelona menang 2-1.

Prestasi cemerlang Larsson itu mendapat pujian Theirry Henry selepas perlawanan.

“Semua orang berkata mengenai Ludovic Guily, Ronaldhino dan juga Samuel Eto’o. Tetapi saya cuma lihat Larsson dalam perlawanan akhir ini.”

“Beliau masuk ke padang dan menukar permainan menjadi milik Barcelona. Beliau yang membunuh Arsenal.”

Dari Helsingborg ke Manchester

Selepas 3 tahun di Barcelona, Larsson pulang semula ke Sweden untuk bersama dengan kelab lamanya iaitu Helsingborg selepas Piala Dunia 2006. Larsson berjaya membantu Helsingborg memenangi Piala Sweden.

Setelah berjaya membantu Helsingborg memperoleh tempat ke-4 dalam liga. Manchester United datang untuk meminjam beliau selama 3 bulan bermula dari bulan Januari hingga Mac 2007.

Impak yang diberi Larsson cukup mengagumkan Sir Alex Ferguson sehinggakan beliau mahu memanjangkan tempoh pinjaman penyerang tersebut.

Namun begitu, Larsson menolak tawaran tersebut kerana beliau sudah berjanji akan pulang ke Sweden sebaik tempoh pinjaman beliau tamat pada bulan Mac.

Selepas itu beliau kembali ke Sweden untuk bermain selama 2 tahun sebelum menamatkan karier beliau pada 2009.

Karier bersama Sweden

Penyerang tajam ini mempunyai 16 tahun karier bersama dengan pasukan kebangsaan Sweden. Beliau melakukan penampilan pertama untuk Sweden pada tahun 1993.

Beliau telah menyertai pelbagai kejohanan utama bersama Sweden seperti Piala Dunia 1994 EURO 2000 dan Piala Dunia 2002.

Larsson mempunyai beberapa kali siri kembali dari persaraan bola sepak antarabangsa. Antara ketika Euro 2004 apabila beliau kembali dari persaraan untuk membantu negaranya di kejohanan tersebut.

Beliau berhasrat untuk bersara sekali lagi selepas Piala Dunia 2006 dan bersara selepas Sweden tewas kepada Jerman di pusingan kalah mati.

Namun beliau kembali lagi untuk Sweden pada EURO 2008 selepas dipujuk jurulatih Lars Lagerback.

Dan akhirnya pada 2009, Larsson bersara dari bola sepak antarabangsa sekali lagi selepas melakukan 106 penampilan dan menjaringkan 37 untuk negaranya.

Baca juga: Garbiel Batistuta, Kisah Perjalanan Lagenda Dari Argentina

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN