Pada minggu lalu FIFA telah mengeluarkan laporan teknikal penuh untuk setiap pasukan yang bertanding di Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia pada musim panas lalu.
Laporan setebal 2018 itu mengandungi analisis video, data dan statistik, dan juga pandangan serta rumusan mengenai profil pasukan, pandangan mengenai prestasi dan taktikal, serta informasi pada setiap perlawanan.
Sudah tentu rumusan mengenai taktikal yang digunakan oleh 32 buah pasukan bertanding, menjadi salah satu perkara yang dinanti-nantikan oleh ramai.
Salah satu yang menarik perhatian kami ialah adunan taktikal konservatif dan moden oleh Didier Deschamps yang berjaya menjulang Perancis di Piala Dunia.
Serangan balas pantas
Di dalam bola sepak moden, penguasaan bola (possesion football) adalah salah satu komponen penting di dalam taktikal moden seperti yang sering digariskan melalui falsafah bola sepak milik Pep Guardiola.
“Saya boleh mengarahkan pemain bertahan di garis terendah, tetapi saya mahu mereka memiliki bola dan bermain,” ujar pengurus Manchester City itu mengenai taktikal beliau.
Namun demikian, penguasaan bola bukan aspek yang ditekankan oleh juara, Perancis di Piala Dunia.
Melalui tujuh perlawanan yang dilalui, juara dunia itu hanya menguasai purata 48% pengusaan bola.
Ini menjadikan mereka sebagai pasukan ke-20 di dalam kedudukan statistik pasukan dengan penguasaan bola terbanyak.
Sepanyol berada di kedudukan teratas carta dengan 69%, tetapi tersingkir lebih awal di pusingan kedua kejohanan.
Sebaliknya Perancis menerapkan corak permainan berasaskan serangan balas pantas. Pilihan untuk beraksi sedemikian masuk akal, jika kita menilai keupayaan pemain mereka yang memiliki kepantasan.
Menurut laporan oleh FIFA itu, Perancis tidak mengandalkan permainan mereka kepada penguasaan bola.
Sebaliknya mereka berusaha untuk menghantar bola ke kawasan pertahanan lawan secepat mungkin.
Antara pemain yang sering digunakan untuk melancarkan serangan balas pantas yang berkesan ialah Antoinne Griezman dan juga Kylian Mbappe.
Perancis juga sangat tajam ketika melakukan penyudah. Mereka memerlukan enam percubaan untuk setiap satu gol. Rusia merekodkan statistik yang lebih baik apabila memerlukan 4.5 percubaan untuk setiap gol yang dijaringkan.
Purata kejohanan ialah 9.8 percubaan untuk satu gol yang dijaringkan.
FIFA merumuskan serangan balas pantas adalah antara pilihan taktikal yang berkesan ketika Piala Dunia yang lalu.
Pasukan pilih kompak
Salah seorang anggota teknikal FIFA, Alberto Parreira yang merupakan jurulatih yang membawa Brazil menjuarai Piala Dunia 1994 berkata:
“Ruangan di antara garisan (blok pertahanan), tidak wujud di Piala Dunia.”
Dengan berkata demikian, Parreira sebenarnya menyimpulkan pasukan di Piala Dunia kali ini beraksi dengan lebih kompak, dengan purata jarak 26 meter daripada pemain pertahanan terakhir, dengan pemain serangan yang berada di bahagian garisan serangan paling tinggi.
Jika dibandingkan dengan Piala Dunia 2010, jarak ini mengalami kekurangan sebanyak 32%.
Jumlah ruangan yang wujud telah dikurangkan secara dramatik, menyebabkan ia amat sukar untuk lawan mendapat peluang serangan.
Perancis memiliki purata jarak antara pemain pertahanan dan serangan tersingkat, iaitu 24 meter, menjadikan juara dunia itu merekodkan jarak terpendek dari segi ruangan dengan pengecualian Australia dan Panama.
Ketika Piala Dunia yang lalu, Perancis pantas membentuk formasi 4-4-1-1 ketika tidak memiliki penguasaan bola, bertujuan menghadkan ruangan di antara blok pertahanan, sebelum memadatkan bahahian tengah dengan pemain.
Corak pertahanan ketat dan kompak memberikan beberapa kesan di Piala Dunia kali ini.
Percubaan dari luar kotak penalti menjadi 32% kurang berbanding di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Pemain perancang gagal menonjol, walaupun pemain seperti Paul Pogba dan Luka Modric turut disebut dalam laporan oleh FIFA itu,. Namun kedua-duanya lebih banyak beroperasi dari garis rendah.
Penyerang No.9 juga gagal memberikan impak. Harry Kane mungkin adalah pemenang kasut emas dengan enam gol, tetapi tiga daripada gol tersebut adalah hasil dari sepakan penalti dan sepakan penjuru.
Hantaran lintang jadi konservatif
Gambar di bawah menunjukkan betapa kompaknya Perancis bertahan dalam perlawanan menentang Belgium di peringkat separuh akhir.
Seperti yang anda lihat, Perancis tidak kisah untuk membenarkan banyak ruang di setiap sisi pertahanan.
Laporan oleh FIFA turut mendedahkan kebanyakkan pasukan membenarkan ruang di bahagian sisi, dan kompak di bahagian tengah.
Jika dahulu, rata-rata pasukan tidak akan berbuat demikian. Ini kerana ia akan mengundang hantaran lintang, terus ke hadapan kotak penalti.
Hari ini, rata-rata pasukan selesa membenarkan hantaran lintang dilakukan, dan memilih untuk tidak bertahan melalui hantaran rendah yang dilakukan di kawasan zon 14, atau half space.
Antara kesimpulan yang boleh dilakukan melalui analisis ini ialah hantaran lintang bukan lagi senjata utama serangan di dalam bola sepak moden.
Kerana itu, setiap pasukan cenderung mengabaikan kemungkinan hantaran lintang dihasilkan dan memberi lebih fokus kepada zon-zon di hadapan kotak penalti untuk bertahan.
Perancis merekodkan purata 15 hantaran lintang di setiap perlawanan, menjadikan mereka berada di kedudukan ke-28 daripada 32 pasukan bertanding untuk menghasilkan hantaran sedemikian.
Anehnya Jerman menjadi pasukan tertinggi menghasilkan hantaran lintang dengan 46 dihasilkan dalam setiap perlawanan. Skuad Joachim Low hanya berjaya menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan melalui kaedah itu.
Apa yang boleh kita simpulkan ialah, corak permainan menggunakan hantaran lintang untuk menyerang sudah dianggap konservatif.
Ia menjadi ancaman yang mudah untuk pertahanan. Pasukan seperti Manchester City masih menggunakan hantaran lintang, tetapi lebih kepada cut back yang lebih berbahaya.
Ini bermakna bola sepak hari ini memerlukan pemain serangan yang memiliki kebolehan teknikal dan skil yang tinggi, kreatif, dan tajam dalam mengesan ruang yang terhad.
Set-pieces
Ketika rata-rata pasukan memilih untuk bertahan secara kompak, serangan balas adalah salah satu pilihan menyerang.
Tatkala peluang yang terhidang dianggap sebagai detik premium, gerakan set-pieces juga menjadi lebih penting dari kejohanan-kejohanan sebelum ini.
Lima dari 14 gol yang Perancis jaringkan dihasilkan melalui set-pieces. Secara keseluruhan, pasukan-pasukan yang bertanding di Rusia lebih efektif ketika set-pieces berbanding di edisi-edisi kejohanan sebelum ini.
Misalnya di Piala Dunia 2018, setiap 29 sepakan penjuru akan menghasilkan jaringan. Piala Dunia 2010 yang lalu memerlukan purata 61 sepakan penjuru untuk setiap jaringan.
Menurut Perreira, set-pieces adalah situasi istimewa kerana pasukan boleh meleyakkan seberapa ramai pemain di dalam kotak penalti lawan.
Set-pieces pada hari ini juga mempunyai gerakan taktikal yang boleh dipraktis di dalam latihan secara kerap untuk menjadi mahir.
Pengenalan VAR turut menjadikan set-pieces sebagai kaedah untuk mendapatkan sepakan penalti.
24 penalti diberikan di Rusia, menjadikan jumlah tersebut lebih tinggi sebanyak enam sepakan berbanding edisi terdahulu.
Pengenalan VAR membolehkan kesilapan pertahanan lawan dikesan dengan mudah. VAR berfungsi sama ada untuk menghukum mereka, atau memberikan mereka kelebihan.
Tetapi satu perkara yang pasti, kesilapan oleh pemain pertahanan sepeti bola terkena tangan, atau kekasaran yang gagal dikesan terus oleh pengadil akan segera dihukum kerana VAR.
Rumusan
Pep Guardiola mungkin dianggap sebagai guru bola sepak moden dengan taktik berasaskan penguasan bola, pressing dan sebagainya.
Namun Perancis menjadi juara dunia dengan kaedah berbeza. Serangan balas pantas dan set-pieces adalah kaedah yang lebih konservatif, tetapi berkesan buat Perancis.
Bolehkah Deschamps dianggap genius dengan penerapan taktikal konservatif, tetapi masih mampu membawa Perancis sebagai juara dunia?
Ia agak janggal, tetapi itulah hakikat yang beliau telah lakukan bersama Perancis.
Anda boleh membaca laporan penuh tersebut di sini.