Bagaimana Rupanya Laporan Scout? Ini Contoh Laporan Scout Liverpool Pada 1984

Scout (atau peninjau dalam Bahasa Malaysia) merupakan salah satu komponen penting dalam sebuah pasukan bola sepak. Tugas mereka tidak sekadar terhad kepada mencari bakat-bakat baru yang boleh menambah kualiti sesebuah pasukan. Ini kerana scout juga perlu menjadi ‘mata dan telinga’ bagi pengurus dan jurulatih pasukan.

Bagaimana scout bertugas?

Tugas scout yang biasanya diketahui umum adalah mencari bakat-bakat baru untuk memperkuatkan pasukannya yang sedia ada. Pengurus/ketua jurulatih akan memberi perincian pemain yang diperlukannya (umur, posisi, gaya permainan, kekuatan dsb) kepada scout sebelum scout keluar memulakan tugasannya.

Tetapi selain itu, scout juga perlu bertugas meninjau pasukan lawan.

Apakah kekuatan pasukan tersebut? Kelemahannya? Siapa pemain yang berbahaya? Bagaimana untuk menangani pemain tersebut? Apakah corak permainan mereka dalam 4 fasa – serangan, transisi serangan ke bertahan, bertahan dan transisi bertahan ke serangan.

Segala maklumat ini kemudiannya akan dikumpulkan dalam bentuk laporan sebelum dihantar kepada pengurus/ketua jurulatih. Laporan ini sangat penting kepada pengurus/ketua jurulatih untuk memberi idea apakah spesifikasi latihan yang akan ditekankan kepada pasukan menjelang pertemuan menentang pasukan lawan tersebut.

Tanpa scout, pengurus/ketua jurulatih akan menghadapi sesebuah perlawanan tanpa persiapan yang spesifik – sekaligus mendedahkan pasukannya kepada kejutan-kejutan yang tidak diingini.

Bagaimana rupa laporan scout?

Satu soalan yang pasti bermain di fikiran peminat bola sepak ialah – apa yang tertulis dalam laporan scout?

Persoalan ini terjawab apabila Ketua Pegawai Eksekutif Liverpool FC, Peter Moore memuat naik sebuah laporan bekas scout Liverpool pada 1984 di akaun Twitter beliau.

Laporan yang dibuat menjelang perlawanan akhir European Cup 1984 (kini dikenali sebagai UEFA Champions League) antara Liverpool dan AS Roma ini disediakan oleh bekas scout Liverpool, Tom Saunders (gambar bawah) untuk pengurus Liverpool pada ketika itu, Joe Fagan.

Embed from Getty Images

Saunders membuat laporan tersebut selepas ditugaskan untuk meninjau taktikal, kekuatan dan kelemahan AS Roma semasa perlawanan Serie A menentang Verona pada 13 Mei 1984. Ia adalah sebahagian daripada persiapan Liverpool sebelum menentang AS Roma dalam perlawanan akhir European Cup.

Dalam laporan tersebut, Saunders membahagikan isi kajiannya kepada 4 bahagian:

1) Corak permainan

Berdasarkan pemerhatian Saunders, AS Roma yang pada ketika itu dikendalikan oleh pengurus berbangsa Sweden, Nils Liedholm bermain dengan taktikal yang lincir (fluid) – satu kelainan memandangkan majoriti pasukan Itali pada ketika gemar bermain dengan taktikal yang ortodoks (rigid).

Saunders turut mengenal pasti AS Roma banyak merencanakan serangan mereka melalui kemahiran teknikal dan kreativiti kapten mereka, Agostino Di Bartolomei dan kelincahan pemain sayap mereka, Bruno Conti dan Falcao.

2) Set-pieces

Menurut Saunders lagi, AS Roma gemar menggunakan input Conti ketika mengambil sepakan penjuru dan banyak memainkan sepakan penjuru pendek.

Menurutnya lagi dua pertahanan tengah AS Roma, Sebastiano Nela dan Ubaldo Righetti jarang-jarang menghadirkan bahaya dalam kotak penalti lawan ketika sepakan penjuru. Sebaliknya penyerang mereka, Roberto Pruzzo merupakan pemain yang paling banyak memberi masalah kepada penjaga gol lawan.

3) Sepakan penalti

Saunders turut membuat melaporkan sesuatu yang menarik mengenai pengambil sepakan penalti AS Roma, Agostino Di Bartolomei. “Bartolomei yang pandai menyepak bola, tidak mengambil labgkah yang panjang (ketika mengambil penalti) dan menunggu penjaga gol untuk melayangkan badan sebelum menyepak,” tulis Saunders.

Saunders turut memberi tips kepada penjaga gol Liverpool, Bruce Grobbelaar. “Adalah dinasihatkan buat Bruce untuk tidak melayangkan badannya sebelum sepakan penalti diambil.”

4) Pemain

Dalam bahagian terakhir laporannya, Saunders melaporkan penjaga gol AS Roma, Franco Tancredi kerap melakukan kesilapan sehingga melepaskan 2 gol mudah kepada Verona.

Saunders turut menekankan sumbangan beberapa pemain AS Roma yang dirasakannya perlu diawasi oleh Liverpool seperti Michele Nappi, Dario Bonetti, Falcao, Agostino Di Bartolomei dan Bruno Conti.

Mengenai Falcao, Saunders menulis, “Sumbangannya kepada persembahan pasukan setaraf Graeme Souness (pemain tengah Liverpool). Beliau bertanggungjawab memastikan pasukannya berjaya mengatasi defisit 2 gol untuk menang 3-0 pada separuh akhir kedua di halaman sendiri.”

Ketepatan laporan Saunders

Apa yang paling menariknya mengenai laporan scout Tom Saunders ini adalah ketepatan pemerhatiannya.

Dalam perlawanan akhir European Cup 1984 antara Liverpool menentang AS Roma, Liverpool menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-15 selepas penjaga gol AS Roma, Diego Tancredi melakukan kesilapan.

Ini konsisten dengan laporan Saunders yang menulis, “Tancredi seorang penjaga gol yang tidak konsisten dan melakukan kesilapan ketika separuh akhir European Cup menentang Dundee dan aksi Serie A menentang Verona.”

Dicabar oleh pemain sayap kiri Liverpool, Ronnie Whelan, Tancredi gagal menagkap kemas bola hantaran lintang Liverpool dari kanan – menyebabkan pertahanan Roma panik ketika cuba mengeluarkan bola hinga terkena badan Tancredi sendiri sebelum Phil Neal menjaringkan gol.

Penilaian Saunders terhadap bahaya kelincahan Bruno Conti juga tepat. Ketinggalan 0-1, Conti memberi Phil Neal, bek kanan Liverpool mimpi ngeri sepanjang perlawanan. Ia terbukti apabila Roma berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi larian bijak dan hantaran lintang Conti di sebelah kiri sebelum disudahi dengan tandukan Roberto Pruzzo.

Dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan, perlawanan diheret ke penentuan penalti.

Nota Saunders yang mencadangkan penjaga gol Liverpool, Bruce Grobbelaar supaya tidak melayangkan badan sebelum pemain Roma mengambil sepakan penalti nyata sangat berguna.

Taktik Grobbelaar yang langsung tidak berganjak dari posisinya (sambil menggoyang-goyangkan kakinya) membuatkan Francesco Graziani – pengambil sepakan penalti terakhir Roma – gagal menyempurnakan penalti sekaligus menghadiahkan kejuaraan Eropah ke-4 mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN