Cristiano Ronaldo meraikan kepulangan beliau ke Old Trafford bersama Juventus dengan kemenangan selepas juara Itali itu menewaskan Manchester United 0-1 pada awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut sekaligus memberikan kelebihan lima mata kepada kelab dari Turin itu di dalam Kumpulan H saingan UEFA Champions League (UCL).
Bekas bintang Manchester United itu membantu Juventus dengan gol tunggal perlawanan pada minit ke-17, apabila hantaran beliau mencari Paulo Dybala disudahkan dari jarak dekat.
Gergasi Itali itu memiliki beberapa peluang lain untuk melebarkan kedudukan pada babak pertama perlawanan namun gagal berbuat demikian.
Juventus menguasai keseluruhan separuh masa pertama apabila menghasilkan 10 percubaan dengan 70% penguasaan bola.
Manchester United tampil lebih baik selepas rehat separuh masa dan mempunyai satu peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, namun percubaan Paul Pogba dinafikan oleh palang gol.
Ia adalah malam yang mengecewakan buat Jose Mourinho, yang diejek oleh penyokong pasukan pelawat sepanjang perlawanan berlangsung.
Ini adalah kekalahan kedua Manchester United di Old Trafford dalam saingan peringkat kumpulan saingan Eropah sejak Mac 2013.
Kekalahan terakhir ialah ketika menentang Real Madrid. Ronaldo menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan tersebut.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Allianz pada 7 November hadapan, dan kemenangan akan mengesahkan Juventus ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Manchester United kekal berada di tangga kedua selepas Valencia dan Young Boys mencatatkan keptusan seri dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.
Saksikan rangkuman perlawanan melalui pautan di bawah: