Laos Atasi Mongolia, Thailand Sah Boleh ‘Kemas Beg’ Ikut Serta Malaysia Ke Piala Asia B-23

Thailand layak ke Piala Asia B-23 2022 Laos menang

Penantian Thailand untuk mara ke pusingan akhir berakhir apabila Laos telah berjaya mengatasi tuan rumah, Mongolia dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan J, pusingan kelayakan Piala Asia B-23.

Selepas terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan berdepan Malaysia, Thailand berada di kedudukan kedua kumpulan dengan lima mata dan perlu menanti keputusan perlawanan antara Laos dan Mongolia selepas itu.

Jika, Mongolia berhasil mengikat atau mengatasi Laos, peluang Thailand untuk mara semakin menipis atau mungkin gagal mara. Ini kerana, keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot kumpulan tidak dikira.

Laos yang tewas dalam dua aksi berdepan Thailand (0-3) dan Malaysia (0-1) perlu menang, bagi membolehkan mata kemenangan Thailand ke atas mereka dikira. Jika tidak, Thailand hanya dikira mengumpul dua mata – hasil daripada dua keputusan seri berdepan Mongolia dan Malaysia. Jelas, mereka memerlukan bantuan Laos.

Skuad kendalian Worrawot Srimaka wajar mengucap terima kasih kepada pemain tengah Laos, Bounphachan Bounkong yang meledak gol kemenangan mereka di minit ke-71, selain jaringan sendiri pemain Mongolia pada minit ke-46 yang membantu Laos bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk menang 3-2 di akhir perlawanan.

Laman Facebook Changsuek sebentar tadi telah memaparkan wajah gembira barisan kejurulatihan dan pemain Thailand meraikan kemenangan Laos serta kelayakan mereka ke pusingan akhir buat kali ketiga berturut-turut.

Mereka meraikannya dengan penuh emosi di ruang depan bilik, tempat penginapan mereka di tingkat 10.

Kelihatan wajah penuh keterujaan, kelegaan dan beremosi termasuklah Worrawot Srimaka yang menyertai keraian yang tidak dirancang itu. Jelas, mereka berasa lega apabila rakan Asia Tenggara ‘membantu’ mereka.

Sementara itu, FA Thailand turut mengucapkan tahniah kepada skuad B-22 mereka atas kejayaan mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang dijadualkan akan berlangsung di Uzbekistan pada Jun tahun hadapan.

Menurut titipan di laman Facebook Changsuek, “Terima kasih kepada pemain, barisan kejurulatihan dan semua kakitangan di bawah pimpinan ‘Madam Pang’, pengurus skuad kebangsaan Thailand kerana telah menunjukkan dedikasi, keazaman dan perjuangan sehingga ke saat akhir kepada seluruh peminat bola sepak Thailand.”

Leave a Reply